AHLI Parlimen Kapar Abdullah Sani berkata beliau sanggup berbuat apa sahaja agar Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri termasuk mengosongkan kerusinya untuk ditandingi presiden PKR itu.
Namun beliau tidak akan berbuat demikian semata-mata untuk memenuhi tuntutan NGO yang digelarnya sebagai “kucing kurap”.
“Anwar hendak apa pun saya akan kosongkanlah. Bukan orang malaun ini yang suruh saya kosongkan. Anwar hendak bila-bila masa untuk dia.
“Sebab kita bercakap mengenai masa depan negara,” kata bekas ahli Parlimen Kuala Langat itu.
Tegasnya, beliau hanya akan melepaskan kerusi sekiranya diminta berbuat demikian oleh Anwar.
“Saya tiada masalah, saya sudah tawarkan pada Anwar Ibrahim. Bila-bila masa (boleh kosongkan kerusi). Apa masalah mengenainya?
“Suruh dia (NGO) sekolah dulu, belajar politik dan tengok cermin muka, (orang) Kapar mana (buat tuntutan). Gabungan mana itu?” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Beliau mengulas tuntutan dari beberapa persatuan yang mendakwa mewakili 125,000 pengundi Kapar yang menuntut beliau meletak jawatan ekoran serangannya ke atas penyandang timbalan presiden, Azmin Ali.
“Persatuan itu 20 orang mewakili 125,000 orang. Suruh dia buktikan dekat saya berapa ribu yang dia ada. Saya menang 16,306 (undi majoriti). Mana boleh dibandingkan dengan 20 orang ini.
“Ini semua kucing kurap sahaja,” katanya.
Gabungan NGO dari Kapar itu menuntut demikian bagi memaksa Abdullah membuktikan beliau mengambil berat masa depan politik Anwar.
“Ini peluang besar untuk beliau buktikan sejauh mana ketelusan dan kesungguhan kata-katanya,” kata NGO dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight.
NGO yang membuat kenyataan bersama itu ialah Persatuan Generasi Anak Rantau Baru @ Garab, Persatuan Kebajikan Pemaju Rakyat Sungai Kapar Indah, Pertubuhan Sahabat Penyayang Selangor dan Persatuan Kebajikan Haji Sirat.
Tuntutuan itu timbul ekoran kenyataan keras Abdullah minggu lalu yang mendakwa Anwar Ibrahim tidak akan berjaya dilantik menjadi perdana menteri sekiranya Azmin kekal sebagai timbalan presiden.
Ini memandangkan Azmin disokong kuat oleh Dr Mahathir Mohamad dan Daim, dakwa bekas pemimpin kesatuan sekerja itu lagi.– 14 Ogos, 2018
Komen