UNITED Pasokmomogun Kadazandusun Murut (Upko) keluar dari Barisan Nasional (BN) dan menyokong Parti Warisan Sabah kerana dibuli Umno, kata Presidennya, Wilfred Madius Tangau hari ini.
Menurut Tangau, Upko sering diserang oleh bekas sekutu dalam BN iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Umno kerana menyokong Warisan selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu, yang menyaksikan BN kalah teruk.
Pemangku Presiden PBS, Maximus Ongkili menyalahkan Tangau, menyebabkan PBS kini menjadi pembangkang.
Terdahulu, Tangau bertekak dengan Ketua Perhubungan Umno Sabah, Hajiji Hj Noor yang menuduhnya lari dari gabungan.
“Memang betul saya lari, Upko lari dari cengkaman Umno.
“Jadi kita sekarang sudah selesa. Kita dulu balik-balik kena buli (oleh Umno),” kata ahli Parlimen Tuaran itu selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Menurut Tangau, kalaupun Upko menjadi punca kepada kekalahan BN di Sabah, ia adalah untuk memastikan Umno terus berkubur di negeri itu. – 14 Ogos, 2018.
Komen