Nazri sokong Dr Mahathir, terkejut pendedahan skandal 1MDB


Melati A. Jalil

Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata selama 28 tahun berada dalam politik beliau tidak pernah melawan mana-mana perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2018.

BEKAS menteri Umno, Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini menyatakan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan tindakan Putrajaya berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Nazri berkata selama 28 tahun berada dalam politik beliau tidak pernah melawan mana-mana perdana menteri.

“Beliau adalah perdana menteri saya sebelum ini dan saya tak pernah keluar Umno, beliau yang keluar Umno. Tetapi sekarang beliau perdana menteri, jadi kita mesti sokong. Saya tak pernah ada rekod lawan perdana menteri.

“Dan saya sokong apa yang beliau buat sekarang, pendedahan yang saya sendiri tak tahu semasa saya dalam kerajaan. Saya tak tahu tentang barang kemas Rosmah, SRC International, jadi kita perlu biarkan perdana menteri siasat. Jika ada kes prima facie, maka ambil tindakan (terhadap pelaku),” beliau memberitahu pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu memberitahu beliau terkejut mengenai pendedahan yang dikaitkan dengan Najib Razak, termasuk wang tunai berjumlah RM116.7 juta yang dirampas polis dari premis yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu.

“Masa saya jadi menteri, saya tak pernah dimaklumkan mengenai duit itu dan Jho Low, tak pernah didedahkan,” katanya.

“Semasa Dr Mahathir tuduh Anwar (Ibrahim), kami setia (pada pemimpin parti) dan sama juga dengan Abdullah dan Najib (ketika  mereka pimpin parti).

“Sekarang baru kita tahu (tentang Najib dan 1MDB). Saya berdiam diri hingga ke hari ini kerana nak tengok apa lagi yang akan didedahkan,” katanya.

Pada Jun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Amar Singh Ishar Singh mengumumkan bahawa sebanyak RM116.7 juta dalam bentuk 26 mata wang yang dibungkus dalam 35 buah beg, dirampas dalam serbuan ke atas premis yang dikaitkan dengan bekas presiden Umno itu.

Najib dihadapkan dengan tujuh pertuduhan iaitu tiga pertuduhan pengubahan wang haram, tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa. Semua pertuduhan ini dikaitkan dengan SRC International Sdn Bhd.

Beliau dituduh menerima RM42 juta daripada bekas anak syarikat 1MDB itu. – 14 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen