Penjawat awam bocor maklumat kerajaan akan didakwa


Bede Hong

Ia masalah yang sedang dihadapi kerajaan Pakatan Harapan, kata Peguam Negara Tommy Thomas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 Ogos, 2018.

PENJAWAT awam yang membocorkan maklumat kerajaan akan didakwa sebagai langkah membendung masalah yang kini dihadapi kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Peguam Negara Tommy Thomas hari ini.

“Ia adalah masalah umum yang sedang dihadapi seluruh pentadbiran,” katanya.

“Rahsia terdedah. Ini masalah yang dihadapi setiap menteri.”

Beliau berkata Pejabat Peguam Negara (AGC) bersedia untuk mendakwa penjawat awam yang membocorkan maklumat tetapi hanya selepas disiasat dan dibuktikan oleh agensi penguatkuasa.

“Ini hasil daripada pentadbiran satu parti selama 60 tahun. Mereka yang mentadbir kerajaan negeri akan beritahu mereka menghadapi masalah yang sama empat, lima tahun pertama.

“Contohnya, ketika kami lantik peguam di Singapura (untuk menuntut akaun yang dibeku), seorang peguam Singapura memberitahu saya yang beliau dihubungi oleh Bernama dan memaklumkan beliau sudah dilantik. Mereka terkejut.

“Saya mahukan kerahsiaan. Itu yang saya cuba beritahu AGC. Saya fikir ada beberapa pertuduhan yang perlu dibuat,” kata Thomas pada satu sesi khas di Persidangan Undang-undang Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau merujuk kepada laporan bulan lepas mengenai Putrajaya melantik sebuah firma di Singapura, Tan Rajah & Cheah, untuk memulakan tindakan mahkamah terhadap 53 individu dan syarikat bagi menuntut wang milik 1MDB.

Laporan berkenaan memetik sumber yang dirahsiakan.

Mengenai soalan yang diajukan oleh Presiden Badan Peguam Malaysia George Varughese, iaitu sama ada Thomas akan melibatkan lebih ramai peguam firma swasta dalam pasukan undang-undang bagi kes 1MDB, beliau berkata ia bukan amalan biasa.

Soalan Varughese itu merujuk kepada langkah AGC melantik peguam perkapalan dari bekas firma Thomas, Sitpah Selvaratnam. Selvaratnam dilantik untuk mengendalikan tuntutan kerajaan terhadap kapal pesiar mewah Equanimity yang didakwa dibeli menggunakan wang 1MDB.

Peguam negara berkata AGC mungkin hanya memerlukan beberapa lagi peguam firma swasta yang pakar dalam bidang perkapalan, harta intelektual atau penerbangan. – 14 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen