PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan seramai 3,407 permastautin tetap (PR) berketurunan India akan diiktiraf sebagai warganegara.
Pengiktirafan ini merupakan satu langkah menunaikan manifesto PH yang menjanjikan untuk memberi taraf warganegara kepada pemastautin berkenaan yang berusia 60 tahun ke atas, katanya.
“Janji ini terdapat dalam manifesto PH yang menjanjikan akan menyelesaikan masalah kerakyatan kaum India yang memegang kad pengenalan merah seramai 3,407 orang yang berumur lebih 60 tahun.
“Sesiapa yang lebih 60 tahun kita akan terus bagi kad pengenalan biru, mereka akan diiktiraf sebagai warganegara,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Bagaimanapun, Dr Mahathir menjelaskan, untuk memperolehi kad pengenalan biru itu, mereka perlu ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk mengisi borang terlebih dahulu.
“Kategori lain ialah jika ada asas misalnya, anak yang dilahirkan oleh salah seorang ibu bapanya warga tempatan (Malaysia) berhak menjadi warganegara.
“Ada beberapa perkara lain juga perlu diteliti dan mereka (PR) perlu dipatuhi sebelum diterima sebagai warganegara antaranya ujian bahasa Malaysia dan menetap di sini selama 12 tahun,” katanya.
Dr Mahathir menjelaskan pengiktirafan ini diputuskan sejak awal dalam manifesto.
“Kita telah putuskan awal-awal lagi tetapi proses nak keluarkan kad pengenalan biru ini mengambil masa sedikit.
“Tetapi kita akan tunaikan janji bahawa pemegang kad pengenalan merah dan berumur 60 tahun ke atas layak diiktiraf sebagai warganegara,” katanya lagi selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas mengenai senario dan pengurusan pekerja asing hari ini.
Janji untuk menyelesaikan masalah kaum India itu diumumkannya April lalu, dalam kempen pertamanya selepas disahkan sebagai calon PH bagi kerusi Parlimen Langkawi.
Dalam dialog bersama masyarakat India di situ, Pengerusi Harapan itu berjanji akan memastikan kaum India di Malaysia tidak dipinggirkan. – 14 Ogos, 2018.
Komen