PM kata Malaysia akan buat perjanjian dengan Nepal seperti Bangladesh


Yasmin Ramlan

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia akan mengadakan perjanjian antara kerajaan dengan Nepal seperti dibuat dengan Bangladesh bagi urusan kemasukan pekerja negara itu.

Ia bagi menyelesaikan isu kemasukan pekerja negara itu selepas Nepal menyekat warganya daripada bekerja di negara ini sejak Mei lau.

“Pemberhentian (hantar pekerja Nepal) adalah dari kerajaan Nepal. Kita tak boleh menentang mereka. Tapi kita mahukan perjanjian bersama kerajaan seperti Bangladesh…,” kata Dr Mahathir.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa khas mengenai senario dan pengurusan pekerja asing di bangunan Parlimen hari ini.

Turut hadir dalam menteri itu, Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran yang berkata kerajaan akan menandatangani memorandum persefahaman dengan Nepal untuk tujuan itu.

Katanya, perbincangan itu akan dibuat memandangkan Nepal masih berminat untuk menghantar pekerja ke Malaysia walau berdepan banyak kesulitan sebelum ini.

Tambahnya, perkara itu juga sudahpun dipersetujui oleh Nepal dari segi prinsip.

“Kita akan hantar ke Kabinet untuk kelulusan tertentu sebelum ke sana untuk lakukan apa yang patut.

“Memandangkan Nepal berminat untuk hantar pekerja mereka, kita juga berminat untuk menerimanya,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau turut mengesahkan bahawa syarikat Bestinet Sdn Bhd, yang didakwa terlibat dengan skandal memeras pekerja negara itu, kini digantung operasi.

Syarikat itu didakwa meraih lebih RM185 juta daripada warga Nepal yang ingin mencari kerja di Malaysia sejak lima tahun lalu.

Syarikat itu didakwa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan mengaut keuntungan daripada kegiatan memproses dokumen imigresen untuk pekerja asing.

Dakwaan berkenaan bagaimanapun dinafikan Bestinet yang menegaskan syarikat itu menjalankan pernigaan secara bertanggungjawab dan tidak terlibat dengan amalan tidak beretika.

Syarikat itu menjelaskan bekas menteri Azmi Khalid tidak lagi menjadi pengarah syarikat itu dan turut menafikan kaitan dengan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Sejak 16 Mei, kerajaan Nepal telah menghalang rakyatnya daripada bekerja di Malaysia kerana kos yang tinggi untuk mendapatkan kelulusan masuk bekerja di negara ini.

Setiap pekerja berkenaan antara lain perlu kos pemeriksaan keselamatan imigresen (RM105), pemeriksaan bio-perubatan (RM100), dan kertas kerja yang berkaitan dengan pusat sehenti yang dikendalikan oleh syarikat swasta Ultra Kirana Sdn Bhd. – 14 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen