PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya hanya akan mewujudkan satu sistem tunggal pendaftaran kemasukan pekerja asing di negara ini bagi mengelakkan kegiatan monopoli.
Menurut pengerusi Bersatu itu, langkah tersebut akan menyaksikan tiada sistem pendaftaran pengasingan mengikut negara seperti yang diamalkan sebelum ini.
“Kita mendapati hanya 10 ejen di Bangladesh dibenarkan memproses dokumen perjalanan pekerja yang akan masuk ke negara ini.
“Situasi ini menyebabkan berlakunya kegiatan monopoli, sehingga kadang-kadang ejen ini mengenakan bayaran sehingga RM20,000.
“Jadi kita hendak meluaskan kepada semua ejen supaya mereka dapat bersaing. Kita akan wujudkan sistem tunggal tanpa pengasingan mengikut negara. Semua (pekerja)Nepal, Bangla akan guna sistem sama,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Senario dan Pengurusan Pekerja Asing di Malaysia.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, pihaknya juga akan menubuhkan Jawatankuasa yang disertai Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia bagi melihat pengurusan dasar dan pekerja asing. – 14 Ogos, 2018.
Komen