JIKA Yang di-Pertuan Agong diberikan kuasa penuh untuk membantah mana-mana undang-undang, rakyat Malaysia akan kehilangan hak mereka, kata Dr Mahathir Mohamad.
Perdana menteri berkata demokrasi akan hancur dan Malaysia akan menjadi sebuah negara “monarki mutlak”.
“Malaysia merupakan negara demokrasi iaitu suara rakyat didengari dalam setiap perkara. Namun, kita juga memberi ruang kepada Agong supaya baginda mengetahui tentang undang-undang yang diluluskan di Dewan Rakyat dan Parlimen.
“Jika Agong diberikan kuasa penuh untuk menolak mana-mana undang-undang, rakyat akan kehilangan kuasa mereka. Kita tidak lagi mengamalkan demokrasi dan menjadi sebuah negara monarki sepenuhnya,” kata Dr Mahathir pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kuala Kurau Ismail Said mengenai perancangan kerajaan untuk meminda undang-undang berkaitan kuasa raja terhadap rang undang-undang yang diluluskan.
Dr Mahathir semasa bergelar perdana menteri keempat meminda Artikel 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan sebanyak tiga kali untuk membolehkan kerajaan mengatasi kuasa raja dalam meluluskan undang-undang.
Namun ketika ditanya sama ada beliau mahu meminta maaf atas tindakannya itu, Dr Mahathir enggan berbuat demikian dan mengulangi langkah tersebut diambil demi kebaikan rakyat.
“Saya tidak akan meminta maaf kepada sesiapa pun. Saya mengusulkan undang-undang tersebut demi kepentingan negara. Kita meminda akta itu sebanyak tiga kali untuk membuktikan kedudukan sebenar undang-undang,” katanya.
Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 menjadi undang-undang pertama yang diluluskan tanpa persetujuan Agong pada zaman pemerintahan kerajaan Barisan Nasional.
Dr Mahathir berkata, kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan mengkaji akta tersebut yang memerlukan persetujuan Agong dan dipercayai melanggar kuasa raja untuk mengisytiharkan darurat jika perlu.
“Persetujuan Agong masih diperlukan jika terdapat usul undang-undang yang menyentuh soal bidang kuasa raja-raja. Ini adalah kesilapan yang dilakukan kerajaan terdahulu ketika meluluskan Akta MKN 2015.
“Kita mendapati akta itu secara jelas melanggar kuasa Agong dalam soal mengisytiharkan darurat. Agong mempunyai hak istimewa untuk mengisytiharkan darurat. Kita akan mengkaji perkara ini dengan lebih mendalam jika perlu melakukan perubahan.” – 14 Ogos, 2018.
Komen