BUKIT Aman akan memanggil pegawai kedutaan di Washington untuk memberi keterangan berhubung isu sepucuk surat yang dihantar oleh bekas ketua Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) kepada Agensi Perisikan Pusat (CIA).
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata dua daripada tiga pegawai yang bertugas di kedutaan Malaysia akan disoal siasat.
Katanya, polis telah mengambil keterangan bekas ketua pengarah MEIO Hasanah Abdul Hamid.
“Siasatan masih diteruskan. Kita akan mengambil beberapa lagi keterangan dalam tempoh terdekat.
“Siasatan itu melibatkan dua daripada tiga pegawai di kedutaan Malaysia di Washington.
“Kita juga telah menyoal siasat Hasanah.”
Hasanah dilaporkan mengirim sepucuk surat kepada Pengarah CIA Gina Haspel pada Mei lalu untuk memohon kerajaan Amerika Syarikat (AS) menyokong bekas perdana menteri Najib Razak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Pihak polis yang menyiasat skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), turut menyerbu rumah Hasanah di Kuala Lumpur untuk mencari dokumen yang dipercayai diserahkan oleh Najib kepadanya sebelum PRU14.
Dalam surat berkenaan, Hasanah dipercayai menuduh Dr Mahathir Mohamad yang mengetuai Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 sebagai anti-Barat, anti-Yahudi, autokratik dan menggunakan kekerasan terhadap penentangnya selain mengenepikan hak asasi manusia dan undang-undang.
Fuzi berkata, polis juga akan memanggil Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Brigedier Jeneral (B) Mohamed Arshad Raji.
“Ya, beliau akan dipanggil untuk memberi keterangan.”
Arshad sebelum ini meminta penahanan Hasanah dan Patriot menyifatkan isu surat kepada CIA sebagai satu pengkhianatan dan membelot.
Dalam satu kenyataan pada hari ini, Arshad berkata pemimpin dan kerajaan yang tidak mempunyai kualiti kepimpinan akan tunduk (kepada kuasa asing).
Katanya, kerajaan pimpinan Najib dilihat tunduk kepada AS dan China yang kini terlibat dalam konflik di Laut China Selatan.
Malah di dalam surat kepada CIA turut mendakwa Malaysia mengalu-alukan kehadiran AS di rantau ini.
“Di satu pihak, Malaysia memberi sokongan kepada dominasi China di Laut China Selatan dan di pihak lain, kita secara senyap menyokong AS.”
Najib bagaimanapun menafikan beliau mengetahui tentang surat tersebut. – 14 Ogos, 2018.
Komen