Logo tak cantik, kerajaan anjur pertandingan ubahsuai


Yasmin Ramlan

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi berkata kerajaan akan mengadakan pertandingan untuk mengubahsuai logo Tahun Melawat Malaysia 2020.

Katanya, rekaan logo yang “tidak cantik” itu perlu diubah namun kerajaan akan mengekalkan beberapa elemen tertentu dan memadam perkara lain seperti imej monyet dalam rekaan tersebut.

“Kita tak buang semua. Mungkin monyet itu dihilangkan,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Tambahnya, imej menara berkembar KLCC juga akan diterakan dengan lebih jelas berbanding gambaran sebagai bayang-bayang dalam logo sedia ada.

“Orang utan yang pakai kaca mata itu mungkin kita tukar sikit,” katanya selepas majlis pelancaran Persekutuan Perpustakaan dan Institusi Antarabangsa (IFLA).

Logo yang dilancarkan oleh bekas menteri Nazri Aziz di Thailand sempena Asean Tourism awal tahun ini menerima kritikan meluas disebabkan rekaannya yang didakwa tidak bermutu.

Mohammaddin turut mengulas mengenai peratusan kemasukan pelancong China ke Malaysia yang menurutnya terus meningkat selepas pilihan raya umum 9 Mei.

Mohamaddin berkata tiada sebarang kesan politik yang mempengaruhi jumlah kemasukan mereka. 

Tambahnya, sejak Januari hingga April tahun ini, sebanyak 37% pelancong dari China melawat negara ini.

Katanya, antara elemen utama yang menarik mereka ke Malaysia merupakan promosi dan musim durian.

Beliau diminta mengulas perkara itu susulan tindakan kerajaan untuk membatalkan beberapa projek irastruktur yang ditandatangani bersama China untuk mengurangkan beban hutang Malaysia.

Projek yang ditandangani bekas perdana menteri Najib Razak itu antaranya melibatkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 688 kilometer dan dua saluran paip gas. – 14 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen