TIADA seorang pun daripada Umno membuat laporan polis untuk menuntut RM3.5 juta yang didakwa diambil oleh pegawal keselamatan di Jabatan Perdana Menteri (PMO) pada malam pilihan raya 9 Mei.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun juga menjelaskan tiada seorang pun daripada orangnya terlibat dalam kes itu.
“Setakat ini, kita tidak menerima apa-apa daripada Umno. Tiada siapa membuat laporan polis untuk menuntut wang itu.”
“Tiada seorang pun orang saya terlibat dalam kes itu. Sebahagian daripada mereka yang ditahan adalah polis bantuan,” kata Fuzi, sambil menambah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat kes itu dan bukannya pihak polis.
Bekas perdana menteri Najib Razak berkata wang yang diambil dari pejabat itu adalah milik Umno.
Berikutan kenyataannya, SPRM akan menyoal bekas presiden Umno berhubung dakwaannya itu.
“Kami merancang untuk memanggil bekas perdana menteri berhubung dakwaannya,” kata Timbalan Ketua Suruhanjaya (Operasi) SPRM Azam Baki dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Azam mengesahkan SPRM merampas RM1.19 juta semasa siasatan penyelewengan dana, yang dikatakan digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini.
SPRM turut merampas dua kereta, Subaru Impreza dan Toyota Vios, serta motosikal Honda.
Dua hari lalu, SPRM menahan pegawai dan pengawal keselamatan di PMO kerana didakwa menyalahgunakan RM3.5 juta itu.
Seramai 17 anggota keselamatan ditahan reman pada 8 Ogos selama lima hari berhubung wang tunai, yang dipercayai dana kempen Barisan Nasional (BN).
Mereka didakwa mengambil wang dari pejabat berkenaan selepas mengetahui BN kalah dalam pilihan raya umum.
Berikutan penangkapan itu, Najib memberitahu Malaysiakini yang RM3.5 juta itu milik Umno.
Beliau menuntut wang itu, bersama-sama dengan RM114 juta, yang disita oleh polis bulan lepas dalam siri serbuan di premis yang dikaitkan dengannya, dikembalikan kepada Umno. – 14 Ogos, 2018.
Komen