Harapan 100 hari pertama di Melaka


Chan Kok Leong

Kerk Chee Yee ketika ditemualbual oleh The Malaysian Insight. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2018.

TEMPOH 100 hari pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) lebih kepada mengenal pasti perkara yang tidak boleh dilaksanakan berbanding yang boleh dilakukan, kata exco Melaka paling muda, Kerk Chee Yee.

“Sebagai kerajaan negeri, kita perlu mengenal pasti had kemampuan kita memandangkan banyak perkara yang tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan Persekutuan,” kata Kerk.

Beliau berkata demikian pada sesi temu bual bersama The Malaysian Insight menjelang tempoh 100 hari pertama PH memerintah Malaysia pada Jumaat ini.

Melaka merupakan satu daripada lima negeri yang sebelum ini diperintah oleh Barisan Nasional (BN) dan jatuh ke tangan PH pada pilihan raya umum (PRU) baru-baru ini.

Setakat ini, kerajaan negeri Melaka di bawah pemerintahan PH menunjukkan prestasi meyakinkan menerusi beberapa inisiatif yang dilaksanakan dengan pantas. 

Dalam tempoh 100 hari pertama, Melaka mengumumkan pemansuhan caj letak kereta pada hari minggu di semua empat majlis perbandaran dan pembaharuan pajakan untuk pemilikan tanah.

Bulan depan, kerajaan negeri akan melancarkan perkhidmatan bas percuma yang menghubungkan kawasan-kawasan kampung ke bandar, hospital dan hab pengangkutan.

Kerk berkata barisan exco juga bersetuju untuk membentangkan usul mengehadkan tempoh pentadbiran ketua menteri selama dua penggal pada mesyuarat exco.

“Pindaan tersebut masih perlu didrafkan sebelum dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Melaka yang dipimpin oleh Ketua Menteri Adly Zahari, merupakan negeri di bawah kerajaan PH yang akan mengehadkan kuasa ketua menteri selama dua penggal saja.

Kerk berkata terdapat beberapa perkara lain yang akan dilaksanakan termasuk menaik taraf rangkaian perhubungan di Melaka dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan tetapi ia perlu mengambil masa.

Selain Melaka, Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Johor jatuh di tangan PH pada PRU14 pada 9 Mei lalu.

Keputusan itu menyaksikan Melaka, Negeri Sembilan dan Johor buat kali pertama tidak diperintah oleh BN.

Di Melaka, PH memenagi empat daripada enam kerusi Parlimen dan 15 daripada 28 kerusi DUN.

Pada 2013, Pakatan Rakyat (sebelum ditukar kepada PH) hanya memenangi tujuh kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen.

Pengedar buku Andre Hasbi berkata PH masih lagi dalam tempoh berbulan madu dan rakyat menolak BN sebagai tanda protes.

“Bagi saya, keputusan itu menunjukkan beban yang dibawa oleh BN dan bekas perdana menteri Najib Razak. Ramai pengundi tidak mengenali calon PH ketika pilihan raya lalu,” kata Andre yang mengusahakan kedai buku Thai Kuang Books bersama ibunya.

Andre berkata undian diberikan kepada PH sebagai cara untuk menyingkirkan kerajaan lama yang dilihat sebagai beban.

“Namun ketua menteri baharu (Adly) tampak meyakinkan. Beliau dilihat lebih mesra dan terbuka,” kata Andre yang mengedarkan buku ke sekolah di Melaka.

Katanya, ketua menteri sebelum ini lebih menjurus ke arah dasar perkauman.

“Kerajaan sebelum ini hanya mahu berurusan dengan syarikat Bumiputera. Dan jika mereka tidak suka kepada anda, maka tiada peluang untuk berurusan dengan mereka,” kata Andre yang berketurunan Peranakan (campuran Melayu-Cina).

“Malah, syarikat saya sudah beroperasi selama 71 tahun dan berurusan dengan kerajaan selama berpuluh-puluh tahun. Mereka mahu mengenepikan syarikat saya disebabkan nama syarikat yang dikatakan ‘terlalu Cina’,” katanya.

Namun katanya, kekalahan BN lebih terletak kepada dakwaan rasuah yang menyelubungi Najib.

“Hal itu membuatkan ahli perniagaan seperti kami untuk melakukan perubahan walaupun tidak menyukainya (perubahan).” – 14 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen