Dalam Malaysia baharu, Melayu masih bimbang tentang isu kaum dan agama


Looi Sue-Chern

Pengundi Melayu masih rasa bimbang tentang isu kaum dan agama serta hak mereka, dalam kerajaan baharu, Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2018.

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) mahu mengakhiri politik kaum dan agama tetapi satu kaji selidik menunjukkan pengundi Melayu menunjukkan mereka masih bimbang dengan sentimen kaum.

Kaji selidik oleh Ilham Centre dalam kalangan Melayu pada Jun, sebulan selepas kerajaan baharu memegang kuasa, mendapati mereka boleh diprovokasi oleh isu kaum dan agama yang dimainkan Umno dan konservatif Islam dalam PAS.

Empat isu utama ialah pelantikan Tommy Thomas dan Richard Malanjum yang buka Melayu sebagai peguam negara dan ketua hakim negara; pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan DAP yang majoritinya Cina mendominasi kerajaan.

Sebanyak 61% dan 68% tidak bersetuju dengan pelantikan Malanjum dan Thomas, dalam kaji selidik yang ditugaskan oleh The Malaysian Insight itu membabitkan 1,622 pengundi Melayu.

Sementara itu, 69% tidak bersetuju dengan pengiktirafan UEC sementara 55% percaya DAP mempunyai lebih kuasa dalam kerajaan.

Pengundi ditanya empat daripada enam isu dalam kaji selidik itu. Dua isu lagi ialah PAS lebih baik berbanding PH dalam menjaga kebajikan Melayu Islam dan PH tidak dapat menjaga hak dan kedudukan Melayu dan Islam.

Tanpa kehadiran Barisan Nasional (BN), 40% percaya PAS lebih baik dalam menjaga Melayu Islam berbanding PH.

Kira-kira 43% tidak percaya bahawa hak Islam dan Melayu akan lebih dilindungi di bawah kerajaan PH.

Isu ini dimainkan oleh Umno dan PAS sejak beberapa bulan terakhir, khususnya pada Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis, baru-baru ini.

Pemangku Pengarah Eksekutif Ilham Centre Mohd Azlan Zainal berkata jawatan tinggi seperti ketua hakim dan peguam negara berkait rapat dengan hak Melayu.

“Itu apa yang orang Melayu fikir. Jawatan utama sepatutnya dipegang oleh Melayu. Sama ada jawatan itu ada kena mengena dengan kaum atau Islam, itu tidak penting.

“Jawatan itu perlu dipegang oleh Melayu. Jika ia tidak dalam tangan Melayu, maka mereka akan fikir hak Melayu tidak dilindungi,” katanya.

Sebanyak 61% dan 68% pengundi Melayu dalam kaji selidik Ilham Centre tidak bersetuju dengan pelantikan Tommy Thomas dan Richard Malanjum. – Gambar fail AFP, 14 Ogos, 2018.

Bagaimanapun katanya, golongan muda Melayu kurang mudah terpedaya dengan isu kaum dan agama, serta lebih objektif, rasional dan pragmatik.

“Belia lebih peka dan prihatin tentang manifesto PH dan janji pilihan raya. Tetapi individu pertengahan umur dan warga emas, bagi mereka sentimen kaum dan agama masih penting.

“Susah untuk singkirkan pemikiran seperti itu. Anda tidak boleh melawan sesuatu yang sudah melekat selama 60 tahun, dalam masa 100 hari,” kata Azlan.

Ketika ditanya parti mana dalam PH dan pembangkang yang paling boleh dipercayai untuk melindungi hak Islam dan Melayu, 34% memilih Umno dan 29% pilih PAS.

Hanya 15% memilih PKR, 4% Bersatu dan 2% Amanah sementara 12% berkata tiada parti yang layak.

“Pelantikan Malanjum dan Thomas sudah pun membuatkan pengundi Melayu fikir PH tidak boleh menjaga Melayu dan Islam.

“Jika kerajaan tidak boleh mengekalkan jawatan itu dalam tangan Melayu, bagaimana mereka hendak pertahankan hak Melayu dan Islam? Itulah pemikirannya.

“Jawatan amat penting bagi orang Melayu, yang sering melihat apa yang ada di depan mereka,” katanya.

Kaji selidik Ilham Centre melibatkan 1,622 responden berumur 21 tahun ke atas. Kira-kira 16% berumur antara 21 hingga 29, 19% antara 30 hingga 39, 28% berusia antara 40 hingga 49 dan 21% antara 50 hingga 59, manakala hanya 4% berusia 60 tahun ke atas.

51% responden terdiri daripada lelaki.

Lebih separuh daripada responden adalah di negeri utara, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Majoriti mereka tinggal di bandar (66%), manakala selebihnya adalah dari kawasan pinggir bandar (19%) dan luar bandar (15%).

Kebanyakan daripada 1,622 responden adalah petani, nelayan dan bekerja di kampung (21%), ahli perniagaan (21%) dan penjawat awam (16%). Lebih separuh daripada responden daripada kumpulan B40 (52%) manakala 31% M40 dan 17% T20.

Kajian dijalankan menerusi soal selidik dan temu bual yang dijalankan bermula 1 Jun hingga 30 Julai.

PH mencatat sejarah pada 9 Mei apabila menumbangkan BN dari Putrajaya dengan memenangi 116 kerusi Parlimen. Ia turut mendapat sokongan daripada Parti Warisan Sabah, yang mempunyai lapan kerusi dan Upko mempunyai satu kerusi.

BN memenangi 79 kerusi. Jumlah itu bagaimanapun semakin menurun kepada 54 selepas kehilangan rakan komponennya dari Sarawak dan beberapa ahli Parlimen Umno yang menjadi wakil rakyat bebas. – 14 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen