Umno tak akan berkubur di Sabah, kata ketua Wanita negeri


Jason Santos

UMNO masih relevan di Sabah sebagai parti yang memperjuangkan hak orang Islam dan Bumiputera, kata Ketua Wanita, Jainab Ahmad.

Beliau berkata sayap Wanita sudah menerima hakikat Umno kini menjadi pembangkang di Sabah dan akan bekerja lebih kuat untuk memenangi hati semula pengundi di negeri itu.

Jainab menolak cakap-cakap bahawa Umno Sabah akan berkubur selepas kalah pada pilihan raya umum 9 Mei lepas kerana parti itu berasal dari Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) yang dipimpin oleh bekas ketua menteri, Mustapha Datu Harun.

“Kita (Wanita Umno) akan berjuang untuk autonomi Sabah dan hak ahli untuk menyuarakan pendapat mereka tanpa perlu meminta izin kepimpinan pusat dan pemimpin Semenanjung.

“Kita juga akan perjuangkan Perjanjian Malaysia 1963,” kata Jainab selepas mesyuarat sayap Wanita negeri di bangunan Umno Sabah di Kota Kinabalu hari ini. 

Sayap Wanita, katanya perlu bekerja lebih bijak dan kuat memandangkan akaun Umno sudah dibekukan. 

Selain itu, Wanita juga kini mempunyai tanggungjawab untuk memastikan Umno kekal di Sabah dengan menyangkal pandangan umum bahawa parti itu ibarat kapal yang kian tenggelam.

“Wanita tetap setia kepada Umno. Memanglah kita tengok sekarang ramai pemimpin Barsian Nasional tinggalkan parti tak sampai 100 hari kita jadi pembangkang. Tetapi Wanita Umno akan terus kekal.”

Bekas adun Karambunai itu percaya Umno yang mempunyai 500,000 ahli di Sabah, akan menang dalam pilihan raya umum lalu jika tiada masalah dalam parti. – 13 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen