PENGURUSAN Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini menafikan dakwaan bahawa ia melindungi seorang kakitangan keselamatan yang didakwa cuba merogol seorang wanita.
UMS berkata, mereka adalah pihak pertama yang melaporkan insiden itu kepada pihak berkuasa pada hari sama ia berlaku.
“UMS tidak berkompromi dengan mana-mana kakitangannya dan pelajarnya yang terlibat dalam pelanggaran undang-undang, termasuk kegiatan jenayah.
“Sejak laporan dibuat, pihak pengurusan sudah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, dan kami memberi kepercayaan penuh kepada mereka untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan kes tersebut,” kata institusi pengajian tinggi itu dalam kenyataan, hari ini.
Pada 25 Julai, Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu mendengar perbicaraan kes cubaan rogol melibatkan seorang wanita dari Kelantan dan kakitangan keselamatan UMS, Arshad Masin, 26.
Hakim Ainul Sharin Mohamad menetapkan 28 Ogos sebagai tarikh pengurusan kes dan Arshad mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, suspek menanggalkan baju mangsa secara paksa di bilik asrama USM pada jam 12.30 tengah malam 15 Julai.
Demi menghormati proses perundangan, pihak universiti memilih untuk tidak mensensasikan kejadian itu kerana bimbang ia akan menjejaskan proses siasatan dan perundangan, katanya.
Pihak universiti juga berkata tertuduh bukan lagi kakitangan di pusat pengajian itu.
“Bagi memastikan kebajikan pelajar tersebut terjaga, pengurusan UMS menerusi jabatan hal ehwal pelajar memberi bantuan yang diperlukan kepada keluarga mangsa, khususnya sokongan dan pemulihan mangsa, dan bantuan akademik bagi memastikan mangsa dapat meneruskan pengajiannya,” kata kenyataan itu lagi.– 13 Ogos, 2018.
Komen