Guan Eng tak ke China untuk pastikan Dewan Negara lulus RUU SST


Kamles Kumar

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng berkata beliau akan menyertai lawatan rasmi perdana menteri ke China jika pembangkang berjanji tidak akan mensabotaj pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di Dewan Negara pada Isnin.

Lim berkata beliau akan berada di Parlimen bagi memantau perjalanan proses tersebut, sekali gus menafikan tuduhan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa bahawa dirinya disisihkan daripada lawatan rasmi tersebut.

Terdahulu, Annuar bertanya sama ada Lim disishkan daripada lawatan rasmi ke China ekoran tindakannya mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyerbu syarikat berkaitan negara itu di Malaysia.

“Pada Isnin, saya akan berada di Dewan Negara bagi memastikan RUU (SST) itu diluluskan. Jika RUU itu tidak diluluskan, ia akan menjejaskan pendapatan. Ini sangat penting,” kata Lim di Dewan Rakyat, hari ini.

Lim memberi amaran kepada pembangkang agar tidak mensabotaj RUU berkenaan demi kepentingan politik dan menggesa mereka supaya menyokongnya demi kepentingan rakyat.

“Jika ia tidak diluluskan, pendapatan negara akan terjejas dan kita akan mengalami defisit. Ini tidak seharusnya berlaku.

“Adakah pembangkang akan beri jaminan, yang mereka akan sokong SST di Dewan Negara?”

Noh Omar (Tanjung Karang-Umno) kemudian membidas Lim yang didakwa bercakap mengenai perkara yang belum terjadi.

“Dewan Negara masih belum bermula. Kenapa yang berhormat perlu buat andaian yang ahli Dewan Negara akan tolak (RUU berkenaan)?” katanya.

Lim berkata beliau tidak dapat menyatakan apakah bentuk “muslihat” yang akan dimainkan Barisan Nasional, namun yakin gabungan pembangkang itu mahu mensabotaj ekonomi negara.

“Ini adalah motif yang jelas. Kami akan bersedia,” katanya.

PH mempunyai tujuh Senator, sementara BN mempunyai 28 daripada 55 kerusi di Dewan Negara.– 13 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen