Kerajaan mahu kurangkan kuasa PM untuk lawan rasuah


Noel Achariam

Putrajaya mahu mengurangkan kuasa perdana menteri dan meningkatkan kuasa badan perundangan supaya aktiviti kerajaan dapat dipantau dan dikawal oleh Parlimen.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Ogos, 2018.

PUTRAJAYA mahu mengurangkan kuasa perdana menteri dan meningkatkan integriti Parlimen supaya aktiviti kerajaan dapat dipantau dan dikawal oleh badan penggubal undang-undang tertinggi negara itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, ini termasuk pemilihan ketua audit negara, yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.

“Kami akan memindahkan kuasa memilih ketua audit negara kepada jawatankuasa pilihan khas Parlimen. Sesiapa, termasuk yang berada dalam kerajaan, tidak dibenarkan untuk campur tangan dalam pemilihan tersebut.

“Ini bermakna kerajaan atau perdana menteri tidak mempunyai kuasa untuk menghukum, memecat, atau menurunkan pangkat mereka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Putrajaya, hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata Kabinet juga bersetuju membentuk beberapa lagi jawatankuasa pilihan khas Parlimen bagi melantik pegawai kanan ke agensi kerajaan.

Dr Mahathir berkata, jika pegawai daripada Pejabat Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi kerajaan didapati melakukan kesalahan, ia akan diadili oleh jawatankuasa pilihan yang sama.

“Audit adalah perkara penting untuk tingkatkan pengurusan kerajaan mengikut aturan.”

Katanya lagi, peruntukan bagi agensi tersebut turut akan ditentukan oleh jawatankuasa pilihan berkenaan.

“Ini antara langkah kami untuk mengetatkan pentadbiran.

“Perkara yang tidak mungkin kita lakukan adalah berkenaan pindaan Perlembagaan.

“Walaupun kita tidak mempunyai majoriti di Parlimen, kita yakin akan dapat sokong daripada pembangkang… dan kemudian kami akan cadangkan di Parlimen,” katanya.

Tambahnya, mereka akan melaksanakannya secepat mungkin dan akan segera menghubung pihak pembangkang bagi mengatasi isu tersebut.– 13 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen