Kes ke-3 selesema burung dikesan, eksport ayam dihentikan


Jason Santos

Sejumlah 29,990 ekor ayam dan 3,500 telur dari dua ladang di Kampung Kauluan dilupuskan manakala 1,150 ekor burung, termasuk itik ayam dimusnahkan dalam tempoh 10 hari lalu. – Gambar EPA, 13 Ogos, 2018.  

JUMLAH unggas yang dilupuskan di Tuaran, Sabah meningkat kepada 30,105 ekor kerana jabatan veterinar negeri hari ini mengesahkan terdapat tiga kes selesema burung dikesan berhampiran kawasan pengawasan.

Menteri bagi Industri Makanan dan Pertanian Negeri, Junz Wong berkata kes terbaru dikesan beberapa hari lalu berhampiran Kampung Telibong dekat Tamparuli, 5km di mana virus influenza mula-mula dikesan di ladang ternakan di Kampung Kauluan pada 3 Ogos lalu.

Kes kedua ditemui tiga hari lalu di Kampung Loputung, juga dalam lingkungan pengawasan 5km.

Kedua-dua kes melibatkan ayam yang dipelihara oleh penduduk kampung, kata Wong, sambil menambah tiada jangkitan terhadap manusia dikesan setakat ini.

“Kesemua kes itu dikesan di kawasan pengawasan dan kami sudah meluaskan kawasan operasi sejak itu.

“Kami yakin keadaan masih terkawal,” katanya kepada pemberita semasa sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Sejumlah 29,990 ekor ayam dan 3,500 telur dari dua ladang di Kampung Kauluan dilupuskan manakala 1,150 ekor burung, termasuk itik ayam dimusnahkan dalam tempoh 10 hari lalu.

Walaupun terdapat pelupusan unggas di Tuaran, Wong yakin akan ada bekalan daging ayam yang mencukupi pada Hari Raya Haji akan datang pada 22 Ogos ini.

Beliau berkata kerajaan akan mengimport lebih banyak ayam jika pasaran sekarang menghadapi sebarang kekurangan semasa musim perayaan.

Beliau juga menyatakan kerajaan menghentikan pengeksportan ayam ke negara seperti Brunei, Maldives, Hong Kong dan Singapura.

“Mereka berhenti membeli ayam daripada kita ketika wabak itu diisytiharkan pada 3 Ogos,” katanya. – 13 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen