KERAJAAN membelanjakan hampir setengah juta untuk menurunkan logo 1Malaysia dan 1Negaraku dari premis awam, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Beliau berkata, kedua-dua logo berkenaan diturunkan dari 21 Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan menelan belanja sebanyak RM18,491 untuk setiap logo.
“Secara keseluruhan, terdapat 25 logo 1Malaysia dan 1Negaraku Malaysia di 21 UTC seluruh negara. Secara purata, kos untuk menurunkan logo tersebut adalah sebanyak RM18,491 bagi setiap satu logo,” kata Lim dalam jawapan bertulis di Parlimen bertarikh 9 Ogos 2018.
Tambah Lim, logo tersebut diturunkan semasa bangunan UTC sedang dalam fasa pemulihan yang berakhir pada 31 Mei lalu.
Setiausaha agung DAP itu berkata kerja-kerja penurunan logo tersebut hanya melibatkan UTC.
Terdahalu, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa bertanya kepada Lim tentang kos yang ditanggung kerajaan bagi menurunkan logo berkenaan dan rasional di sebalik tindakan tersebut.
Bekas perdana menteri Najib Razak memperkenalkan konsep 1Malaysia pada 2010 bagi menyuburkan keharmonian, perpaduan nasional dan tadbir urus yang baik.
Program tersebut mendapat kritikan susulan kegagalan beberapa inisiatif yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) antaranya Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) and Klinik 1Malaysia.
Program yang dijalankan di bawah 1Malaysia juga didakwa memberi keuntungan kepada kroni Najib.– 13 Ogos, 2018.
Komen