Jho Low tanggungjawab jika beli kapal guna dana 1MDB, kata Najib


Kamles Kumar

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata selalu menegaskan yang Jho Low perlu bertanggungjawab jika benar wang tersebut diambil daripada 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2018.

AHLI perniagaan yang menjadi buruan Low Taek Jho perlu dipertanggungjawabkan jika ternyata kapal pesiar mewah The Equanimity dibeli dengan dana haram, kata Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau selalu menegaskan yang bekas rakan sekutusnya, yang juga dikenali sebagai Jho Low, perlu bertanggungjawab jika wang tersebut diambil daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya pernah berkata jika ia dilakukan secara haram, jika kapal layar itu diperoleh dengan cara tidak sah, dalam erti kata wang yang bukan miliknya digunakan, sebagaimana yang didakwa.

“Justeru, beliau harus bertanggungjawab ke atasnya, itu sentiasa menjadi pendirian saya,” kata Najib kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Najib yang juga bekas menteri kewangan memulakan 1MDB dengan bantuan Low dan mengawasinya sebagai pengerusi lembaga penasihat syarikat pelaburan negara itu.

Bekas presiden Umno itu turut menafikan sebarang salah laku berkaitan 1MDB dan juga The Equanimity.

Low, yang sebelum ini menafikan memiliki kapal layar itu, baru-baru ini bercakap melalui peguamnya membantah langkah Malaysia mengambil kapal layar itu dari Indonesia, di mana ia dirampas.

“Saya tidak mahu mengatakan apa-apa, terpulang kepadanya. Kami tidak terlibat dengan kapal layar, sama sekali,” kata Najib.

Najib sedang berdepan tujuh pertuduhan berkaitan 1MDB yang melibatkan pemindahan dana daripada bekas anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad awal minggu ini berkata permohonan Jabatan Kehakiman AS untuk merampas kapal layar itu menunjukkan Low membeli kapal layar itu menggunakan dana 1MDB, yang dimiliki oleh pembayar cukai Malaysia.

Malaysia menerima kapal layar itu dari Indonesia pada Isnin, berikutan perjanjian antara Dr Mahathir dan Presiden Jokowi Widodo. – 13 Ogos, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen