Kelas bahasa Inggeris untuk polis atas permintaan PM


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun mengulas tentang kursus bahasa Inggeris yang akan disertai oleh anggota polis. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Ogos, 2018.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkasakan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan anggotanya selepas gesaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun. 

Katanya, pegawai kanan polis termasuk ketua polis daerah (OCPD) terlebih dahulu akan menjalani kursus intensif bahasa Inggeris, sebelum diperluaskan kepada anggota bawahan, kata Fuzi pada  sebuah majlis di Maktab Polis Diraja hari ini. 

“Kita mahu memastikan setiap lapisan anggota polis fasih berbahasa Inggeris. Kursus permulaan akan melibatkan pegawai kanan dan OCPD bagi memperkasakan tahap penggunaan bahasa Inggeris mereka.

“Ia akan disusuli oleh lain-lain pegawai. Kita akan mempunyai 14 pusat latihan di seluruh negara. Tidak sekadar fasih bertutur tetapi kita mahu memastikan bahawa setiap anggota juga mampu menulis dalam bahasa Inggeris,” kata Fuzi selepas merasmikan Kursus Bahasa Inggeris di maktab tersebut. 

Fuzi menambah, perdana menteri secara peribadi menyampaikan permintaan tersebut kepada beliau bagi memastikan setiap anggota PDRM fasih berbahasa Inggeris.

Jelas beliau, pengambilan anggota baharu juga perlu menjalani kursus tersebut.

Namun Fuzi menjelaskan, anggota baharu yang mendapat keputusan kurang baik dalam peperiksaan di maktab masih boleh memohon untuk menjadi pegawai.

“Anggota polis baharu perlu menjalani kelas intensif berbahasa Inggeris dan kita akan mengadakan kelas debat kepada mereka.

“Ini merupakan dasar baharu tetapi sekiranya mereka kurang berjaya dalam peperiksaan, mereka masih boleh memohon menjadi pegawai. Mereka hanya perlu menghadiri kursus bahasa Inggeris yang disediakan.

“PDRM mempunyai guru bahasa Inggeris sendiri untuk mengajar anggota baharu,” katanya.

Bagaimanapun, Fuzi berkata, anggota PDRM perlu diberikan masa untuk fasih berbahasa Inggeris.

Ujarnya, buat masa ini, tahap bahasa Inggeris dalam kalangan anggota PDRM adalah sederhana.

“Kita akan menggunakan bahasa tersebut dengan lebih kerap tetapi memerlukan lebih masa. Apabila mencapai tahap yang lebih baik, kita akan mengadakan mesyuarat dan aktiviti lain dalam bahasa Inggeris.

“Pada ketika ini, kita masih berada di tahap sederhana,” kata Fuzi.

Seramai 30 anggota polis berpangkat tinggi menyertai kursus bahasa Inggeris yang diadakan secara percuma di maktab itu bermula hari ini sehingga Jumaat.

Fuzi menambah, beliau akan meminta bajet yang lebih besar pada tahun depan untuk memperluaskan kursus itu dalam kalangan anggota di seluruh negara. – 13 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen