PIHAK berkuasa agama dan pengawal selia Internet Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bekerjasama memantau isu LGBT serta liberalisme di kalangan umat Islam di media sosial, kata Dr Mujahid Yusof Rawa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan SKMM bertanggungjawab memantau kandungan dalam talian tersebut.
“Dalam usaha membendung isu LGBT dan Islam liberal di media sosial, Jakim bekerjasama dengan SKMM untuk mengawasi sebarang isu yang mungkin timbul,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, bertarikh 6 Ogos.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Parit Nizar Zakaria daripada Umno, yang bertanya berapa banyak usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk membendung masalah LGBT.
Beliau berkata sejak 2011, Jakim mengadakan program melibatkan golongan itu mengenai ajaran Islam.
“Mereka menghadiri program secara sukarela. Tanggungjawab Jakim adalah menjelaskan Islam kepada mereka.”
Mujahid baru-baru ini dikritik apabil mengarahkan gambar Nisha Ayub, seorang aktivis transgender, dan aktivis LGBT Pang Khee Teik diturunkan daripada pameran fotografi di Festival George Town yang berlangsung hingga bulan depan.
Dilaporkan beliau berkata tindakan memaparkan potret itu seolah-olah menggalakkan aktivisme LGBT, yang tidak sejajar dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan.
Bagaimanapun, selepas pertemuan dengan Nisha, Mujahid berkata gambar itu boleh dipamerkan tanpa kapsyen yang menggambarkan kedua-duanya sebagai aktivis LGBT, dan beliau bimbang dengan balas masyarakat jika gambar itu dipaparkan secara terbuka.
Walaupun dipuji kerana inisiatif bertemu Nisha, beliau juga dikritik oleh beberapa pihak kerana dilihat mengiktiraf gaya hidup LGBT.
Mujahid sebelum ini berkata transgender harus diberikan bantuan, seperti mendapatkan pekerjaan, agar mereka tidak terjebak dengan pekerjaan melibatkan seks.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata terdapat kategori berbeza di antara gay dan biseksual. Justeru, kaunseling harus diberikan kepada yang ingin menukar cara mereka.
Bagi yang percaya homoseksual adalah semulajadi dan tidak salah, beliau berkata lebih banyak dialog diperlukan untuk memahami pandangan mereka.
“Hanya selepas itu barulah pendekatan lain boleh dipertimbangkan.” – 13 Ogos, 2018.
Komen