PUTRAJAYA akan mengekalkan tol sehingga ekonomi pulih, kerana ia memerlukan pendapatan RM400 bilion, kata Baru Bian hari ini.
Menteri kerja raya itu berkata pemansuhan tol akan ditangguhkan sehingga ekonomi pulih.
“Kerajaan menangguhkan cadangan itu sehingga ekonomi stabil dan membolehkan kami melaksanakannya,” kata Baru kepada Dewan Rakyat semasa sesi soal jawab.
Sebelum pilihan raya, Pakatan Harapan (PH) berjanji dalam manifestonya untuk menghapuskan tol di seluruh negara.
Baru berkata tindakan itu akan menyebabkan kerajaan menelan belanja lebih RM400 bilion jika ia dilaksanakan.
Beliau berkata penghapusan tol tidak termasuk dalam janji 100 hari PH, dan langkah itu akan dikaji semula apabila hutang negara langsai.
Beliau juga berkata PH tidak tahu keadaan kewangan sebenar kerajaan ketika ia membuat janji itu.
“Kami adalah kerajaan yang bertanggungjawab dan praktikal. Kami menganalisis situasi negara, situasi yang tidak diketahui sebelum ini.
“Sekarang kami menyedari kedudukan ekonomi kerajaan, kami terpaksa menangguhkannya,” kata Baru. – 13 Ogos, 2018.
Komen