DAP tentukan calon PRK Balakong malam ini


Yeoh Cheong Ee

Menurut sumber dalaman parti, jawatankuasa tertinggi parti yang diketuai oleh Lim Kit Siang akan meneliti senarai calon sebelum keputusan muktamad diambil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2018.

DAP malam ini dijangka akan membuat keputusan mengenai calon yang akan diletakkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong yang akan diadakan pada 8 Spetember ini.

Menurut sumber dalaman parti, jawatankuasa tertinggi parti yang diketuai oleh Lim Kit Siang akan meneliti senarai calon sebelum keputusan muktamad diambil.

Sumber itu berkata, jawatankuasa tersebut ditubuhkan berikutan timbul perasaan tidak senang di peringkat akar umbi selepas beberapa orang luar dicadangkan sebagai calon.

Selain Kit Siang, jawatankuasa tersebut juga dianggotai Setiausaha parti, Lim Guan Eng; Pengerusi, Tan Kok Wai; Timbalan Pengerusi, Gobind Singh Deo dan Naib Pengerusi, M. Kulasegaran.

Juga difahamkan, jawatankuasa itu mempunyai senarai pendek empat calon yang berpotensi.

Menurut sumber itu lagi, Ketua Pemuda DAP Serdang Wong Shi Qi dikatakan calon pilihan parti.

“Saya percaya Wong mempunyai peluang cerah untuk dipilih,” kata sumber berkenaan.

Sumber itu menambah, bekas wartawan penyiaran, Yunna Tan, mungkin tidak akan terpilih meskipun beliau pada awalnya dikatakan akan dipilih sebagai calon bagi kerusi DUN Balakong.

Tambahnya lagi, khabar angin mengenai pencalonan Yuna telah menerima pelbagai reaksi dari peringkat akar umbi dan kepimpinan parti.

Antara nama lain dalam senarai pendek itu ialah Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Khoo Khim Han and Thiagarajah Rajagopal. – 12 Ogos, 2018.
 
Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen