KERAJAAN Pulau Pinang menjemput Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad ke Komtar Jumaat ini bagi “membincangkan” mengenai tandatangan Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
Ketua menterinya Lim Guan Eng berkata pentadbiran negeri itu mahu mengadakan pertemuan dengan ketua pesuruhjaya itu bagi membincangkan penambahan 10 inisiatif bebas rasuah yang sudah dijalankan negeri itu.
Lim berkata hanya ini caranya untuk kerajaan Pulau Pinang setuju dengan ikrar itu.
“Saya sudah bincangkan dengan ahli Exco saya dan mereka setuju menandatangani “IBR 10” dengan penambahan 10 inisiatif itu pada Jumaat ini.
“Ini menunjukkan keikhlasan dan komitmen kami dalam membanteras rasuah, dan tidak mahu membenarkan perkara ini dieksploitasi media yang dikawal Barisan Nasional untuk menyerang Pulau Pinang.
10 langkah inisiatif itu termasuk melaksanakan prinsip CAT kerajaan negeri (kompeten, bertanggungjawab dan telus), mengamalkan tender terbuka kompetitif, dan pengisytiharan aset awam ketua menteri, ahli majlis eksekutif negeri dan ahli dewan undangan negeri.
Ahli pentadbiran juga tidak dibenarkan mendapatkan kelulusan untuk tanah negeri, ahli keluarga mereka tidak dibenar menjalankan perniagaan atau mendapatkan kontrak daripada kerajaan negeri dan tidak dibenarkan menerima “derma” peribadi.
Perlindungan juga perlu diberikan kepada penyampai maklumat, peruntukan untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin kerajaan yang hidup di luar kemampuan dan ketelusan mereka dalam sumbangan politik.
Lim turut mengulangi pendirian yang kerajaan negeri itu tiada masalah untuk menandatangani ikrar untuk membanteras rasuah.
“IBR 10 akan ditandatangani pada 28 Julai membabitkan semua ahli pentadbiran Pulau Pinang, ahli dewan undangan negeri dan ahli Parlimen.
“SPRM boleh menganjur ikrar bebas rasuah untuk kami atau bekerjasama dengan kerajaan Pulau Pinang,” katanya.
Semalam, Lim mempersoalkan tindakan SPRM yang menyasarkan kerajaan Pulau Pinang kerana tidak menandatangani ikrar berkenaan apabila terdapat negeri lain termasuk yang diperintah BN juga tidak menandatangani IBR.
Katanya, SPRM tidak pernah mengalu-alukan Pulau Pinang untuk berbuat demikian dan tidak tahu menahu ia boleh ditandatangan dengan sukarela.
Pada Isnin, Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad berkata agensi itu terkejut dengan tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang berkenaan tandatangan itu. Beliau mempersoalkan mengapa Lim memerlukan jemputan untuk menandatangan IBR.
Perkara berhubung IBR berlarutan sejak dua minggu lalu dan kerajaan Pulau Pinang mempertikaikan ikrar itu. – 26 Julai, 2017.
Komen