MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mahu kerajaan negeri memberi tanah kepada kementerian bagi membina lebih banyak rumah kos rendah rakyat Malaysia di bawah Dasar Perumahan Negara.
Beliau berkata kerajaan negeri juga perlu memainkan peranan penting dalam membantu kementeriannya membina lebih banyak rumah kos rendah.
Zuraida juga menyatakan manifesto Pakatan Harapan (PH) turut mengandungi rancangan untuk membina sejuta buah rumah di seluruh negara dalam tempoh sepuluh tahun.
“Kita (kementerian) merasakan bahawa kerajaan negeri harus mainkan peranan dan sama bertanggungjawab dalam menyediakan rumah dengan memberi tanah kepada rakyat di negeri masing-masing.
“Mereka (kerajaan negeri) tidak seharusnya menyerahkan kepada kementerian untuk mencari dan membeli tanah yang harganya tinggi dan menyerap sebahagian daripada kos perumahan.
“Apabila kerajaan negeri beri tanah dengan percuma, ini akan banyak mengurangkan kos pembinaan rumah,” beliau memberitahu pemberita ketika menghadiri taklimat perumahan bagi penduduk Sepanggar oleh Dewan Bandaraya Kota Konabalu, hari ini.
Ini merupakan lawatan sulung Zuraida sebagai menteri ke Sabah. – 12 Ogos, 2018.
Komen