Prasarana tanggung kerugian besar dalam projek metro di Arab Saudi, kata Rafizi


Muzliza Mustafa

Ahli Parlimen PKR Pandan Rafizi Ramli berkata dia mengusulkan soalan bertulis kepada perdana menteri untuk pengesahan berhubung laporan yang didedah itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2017.

KEWANGAN Prasarana Malaysia Berhad semakin buruk kerana terpaksa memikul tanggungjawab ke atas projek di Arab Saudi, kata ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

Rafizi berkata, dia menerima maklumat sulit daripada sumber mengenai status kewangan projek syarikat itu di Arab Saudi yang menunjukkan kerugian besar ditanggung rakyat Malaysia.

Prasarana terbabit dalam projek pembinaan kereta api metro di Arab Saudi untuk Al Mashaer Al Mugadassah Metro Southern Line (MMMSL) dan Maakh Shadow Operator sejak 2014.

Bagi memastikan maklumat yang diperoleh tepat dan benar, Rafizi berkata dia mengusulkan soalan bertulis kepada Perdana Menteri mengenai jumlah wang yang dibelanjakan Prasarana berbanding keuntungan yang diperoleh menerusi projek itu.

Dalam jawapan balas, perdana menteri menjelaskan pendapatan bagi 30 Jun 2017 adalah RM580 juta.

“Ia sepadan dengan laporan pengurusan kewangan,” katanya.

Pendapatan bagi dua tahun pertama adalah RM530 juta.

“Sekiranya pendapatan untuk Jun 2017 adalah RM50 juta, ia mengesahkan jawapan balas daripada Perdana Menteri itu adalah tidak jauh ketara berbanding penyata laporan kewangan yang didedah,” katanya.

Perdana menteri juga menjawab, pemeriksaan yang dibuat pada perbelanjaan juga menunjukkan sepadan dengan jumlah yang dilaporkan.

Katanya sejumlah RM630 juta dibelanjakan pada dua tahun pertama sehingga Mei 2017 dan RM49 juta pada Jun 2017 sebagaimana dilaporkan perdana menteri.

Rafizi membuat kesimpulan unjuran bagi projek berkenaan yang dibuat Prasarana Malaysia Berhad menunjukkan ia akan kerugian sehingga RM142 juta sehingga 2018 adalah tepat dan betul.

“Mengapa Prasarana Berhad dibebankan dengan projek kereta api metro di Arab Saudi sedangkan ia berdepan dengan kerugian saban tahun apabila kos operasi lenbih tinggi berbanding penjualan tiket?

“Apa yang lebih teruk saya diberitahu pekerja Malaysia di sana tidak dibenarkan menggunakan kereta api metro kerana ia dikhaskan untuk warganegara sahaja,” katanya. – 26 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen