PM minta Najib jawab ‘kehilangan’ RM18 bilion bayaran balik GST


Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa pendahulunya Najib Razak untuk menjelaskan tentang status bayaran balik GST berjumlah RM18 bilion yang didakwa 'hilang'.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Ogos, 2018.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa pendahulunya Najib Razak untuk menjelaskan tentang status bayaran balik GST berjumlah RM18 bilion yang didakwa “hilang”.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini menuduh kerajaan terdahulu menyalah guna wang tersebut, sementara Najib pula menuduh kerajaan Pakatan Harapan sengaja menyalahkan dirinya untuk menutup kesalahan sendiri.

“Itu apa yang Najib kata dan apa yang Guan Eng kata (duit bayaran balik hilang). Jika ia tidak hilang, jadi tunjukkan kepada kami di mana wang tersebut,” kata Dr Mahathir, hari ini.

Ketika ditanya sama ada kerajaan menggunakan wang tersebut untuk menampung perbelanjaan negara selepas berjaya menawan Putrajaya daripada Barisan Nasional pada Mei lalu seperti didakwa Najib, Dr Mahathir berkata PH kekurangan wang sejak memperolehi kuasa selepas PRU14.  

“Kami kekurangan wang, itu benar. Banyak wang digunakan untuk memperbaiki hutang dan menamatkan hutang berkenaan. Di situlah wang itu pergi dan rakyat berharap yang kami (kerajaan) beri wang kepada mereka kerana ini adalah tabiat yang diamalkan oleh Najib.

“Beliau bagi wang kepada rakyat sesuka hati dan sekarang rakyat harap pada kita untuk beri wang sesuka hati tetapi kita tiada wang. Kita tak curi wang sepertimana Najib buat,” tambah Dr Mahathir.

Minggu lalu, Lim menuduh pentadbiran BN “merompak” duit bayaran balik GST yang sepatutnya dibayar balik kepada perniagaan dalam tempoh dua minggu tuntutan dibuat. Lim berkata RM18 bilion “hilang” daripada akaun bayaran balik tersebut.

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin membuat laporan polis berhubung tuduhan itu.

Mengulas perkara itu, Najib mempersoal Lim mengapa kementerian memerlukan masa tiga bulan untuk mengesan kehilangan RM18 bilion wang bayaran balik GST.

Najib berkata itu adalah perangai biasa kerajaan PH yang sering menuduh BN dalam segala kesilapan yang berlaku, walaupun itu sebenarnya salah PH sendiri.

Bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah, yang mendakwa tuduhan itu tidak berasas, turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sehari selepas Khairy membuat laporan berkenaan.

Mahathir juga ditanya sama ada Kabinet akan membentangkan bajet tambahan minggu hadapan.

Perdana menteri berusia 93 tahun itu menjawab yang pentadbirannya akan meneliti cadangan tersebut.– 12 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen