PENURUNAN kadar jenayah negara dapat dilihat sejak pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak selepas beberapa transformasi yang dilakukan sejak beliau mengambil alih pentadbiran negara pada 2009, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun Zahid berkata, penurunan yang ketara dapat dilihat pada 2013 hingga 2017 sejak beliau dilantik sebagai menteri dalam negeri dan Khalid Abu Bakar sebagai Ketua Polis Negara.
“Paling drastik indeks jenayah turun sejak 2013-2017 - turun lebih 53%. Menyebabkan purata indeks jenayah 47% dari 2013-2017.
“Ramai tak dapat tangkap apa yang saya maksudkan iaitu selepas saya dilantik sebagai menteri dalam negeri dan Khalid sebagai Ketua Polis Negara,” katanya ketika berucap di forum ‘Persepsi terhadap keselamatan’ di Hotel Istana, Kuala Lumpur hari ini.
Bagaimanapun, katanya dengan penurunan tersebut orang ramai masih lagi meletak persepsi negatif terhadap pihak polis.
“Usaha yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah pasukan polis kita terbaik di negara Asean. Ini pengiktirafan oleh peringkat antarabangsa. Tapi persepsi?
“Apabila sejam lebih yang diberikan tadi 20% sahaja yang beri persepsi baik terhadap pihak polis,” katanya yang merujuk kepada hadirin ketika sesi soal jawab di majlis tersebut.
Beliau menambah, mustahil untuk sesuatu negara itu mencapai kadar sifar jenayah, tetapi tidak mustahil untuk mencapai penurunan.
“Kita juga mahu usaha-usaha penambah baik oleh polis ada keberkesanan tapi apa yang kita lihat keberhasilan secara statistik sahaja tidak cukup,” katanya.
Beliau berkata keyakinan terhadap orang ramai perlu diwujudkan untuk menukar persepsi negatif terhadap pasukan polis. – 26 Julai, 2017.
Komen