BEBERAPA hari selepas berjaya “menahan” kapal pesiaran mewah Equanimity milik ahli perniagaan Low Taek Jho, Putrajaya kini mahu membawa pulang pesawat peribadinya, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Pesawat itu dirampas pihak berkuasa Singapura tahun lepas dan kini sedang disimpan di Lapangan Terbang Seletar di negara itu.
Dr Mahathir berkata demikian kepada wartawan pada majlis hari ini yang pentadbirannya sedang berusaha membawa pulang pesawat jenis Bombardier Global 5000 berharga AS$35 juta (RM143 juta) itu.
“Kita perlu bawanya pulang. Kami sedang cuba mendapatkan semua wang yang dirompaknya daripada kita,” katanya.
“Kami tahu siapa yang simpan tetapi kami tak tahu di mana mereka berada dan wujud keperluan untuk mendapatkan akses kita kepada wang tersebut dengan membuktikan ia milik kita,” katanya di Universiti Perdana, Serdang hari ini.
Dalam tindakan rampasan aset kerajaan AS tahun lepas, dilaporkan yang pesawat itu adalah sebahagian daripada AS$1 bilion aset yang didakwa dibeli mengguna hasil rompakan dana harta negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut akhbar Theedgemarkets, AS mendakwa dana itu melalui proses pengubahan wang haram menerusi sistem perbankan AS dan mereka mahu merampas pesawat peribadi itu, bersama-sama aset lain termasuklah kepentingan AS$100 juta dalam EMI Music Publishing Group dan kepentingan AS$380 juta dalam Park Lane Hotel di New York. – 12 Ogos, 2018.
Komen