SERAMAI 150,000 pelajar kini menuntut di sekolah tahfiz untuk menjadi huffaz dan jumlah itu kini meningkat.
Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta) Mohd Zahid Mahmood berkata peningkatan itu ekoran permintaan ibu bapa yang mahu anak mereka mengikuti pendidikan agama.
Data setakat Januari 2018 menunjukkan, terdapat lebih 1,000 sekolah tahfiz di seluruh negara namun hanya 618 atau sekitar 60% didaftarkan dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Agama Negeri.
Mereka akan dapat menjadi imam masjid, guru agama, guru untuk kelas asas fardu ain, atau kerani di jabatan agama.
Namun ini bukan perkara ideal kerana pihak berkuasa mendapati lepasan sekolah tahfiz berdepan kesukaran memasuki bidang profesional dan peluang yang terhad dalam pasaran kerja.
Zahid mengakui bahawa keadaan ini berpunca dari kurikulum sekolah tahfiz yang tidak menyertakan subjek wajib ke universiti atau kemahiran.
“Apa yang kita lihat pelajar tahfiz kita ni terpaksa melalui rintangan, kekangan untuk buat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) untuk masuk universiti. Jadi mereka kena masuk ke dalam arus perdana,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Zahid berkata, menyedari kelemahan ini, persatuan tahfiz bersama kerajaan sebelum ini telah merancang melahirkan seramai 125,000 hafiz profesional.
Beliau berkata salah satunya dengan menyediakan mata pelajaran SPM bagi membuka ruang pelajar hafiz tersebut melanjutkan pelajar di dalam bidang profesional lain.
Katanya, sekolah tahfiz perlu menyediakan laluan lebih mudah supaya peluang kerja lepasan sekolah itu tidah hanya terhad kepada imam masjid, ustaz atau kerani di jabatan agama sahaja.
“Skop (peluang kerja) itu terlalu rendah. Maka, kita melihat kita harus sediakan laluan untuk mereka supaya adanya generasi al-Quran tetapi (menyandang jawatan) profesional di dalam kerajaan,” katanya.
Memandangkan permintaan ke sekolah tahfiz kini semakin meningkat, Zahid menjelaskan, sekolah tahfiz mempunyai kuasa memilih bagi menjamin kualiti pelajar mereka.
“Memang susah (nak kawal pelajar bermasalah) sebab kadang-kadang ibu bapa tak cerita apa masalah anak-anak dia. Kalau dulu, orang tak ramai belajar (tahfiz) kita pun terpaksalah didik,” katanya.

Sehingga April 2017, sebanyak 168 maahad tahfiz berdaftar diwujudkan. Jumlah keseluruhan huffaz dianggarkan lebih 13,000 dalam kalangan lepasan Darul Quran dan institusi tahfiz swasta di Malaysia.
Kerajaan telahpun memberi jaminan untuk menambah baik sistem pendidikan tahfiz bagi memastikan lulusan sekolah itu mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.
Menteri Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa pada akhir bulan lalu berkata ini bagi memastikan sekolah tahfiz sedia ada mengikut garis panduan yang ditetapkan badan pensijilan tahfiz Darul quran di bawah Jakim.
Katanya, pihak beliau telah menandatangani memorandum persetujuan dengan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) untuk menghasilkan para huffaz berijazah.
Mengulas perkara itu, Zahid berkata sebelum ini tiada orang terfikir untuk menjadikan hafiz yang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi seperti sarjana pentadbiran perniagaan (MBA) dan ijazah doktor falsaha (PhD).
“Kalau kita tengok ulama terdahulu, mereka ulama, saintis, doktor dan hafiz. Jadi itu yang kita nak mulakan,” katanya.
Tambah subjek SPM dan TVET untuk peluang pekerjaan
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page) Noor Azimah Abdul Rahim pula berkata pelajar tahfiz perlu mengambil peperiksaan awam sebagai subjek tambahan kurikulum seperti yang pernah dicadangkan oleh menteri terdahulu.
“Menteri pendidikan baharu juga telah bersetuju untuk melakukan perkara yang sama di mana bilangan subjek minimum digalakkan untuk diambil supaya mereka memperolehi sijil yang berkaitan bagi memperoleh pekerjaan yang lebih bagus,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Noor Azimah berkata, tindakan ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah tahfiz harus dilihat sebagai pengorbanan besar yang harus disokong dan dihormati.
“Bagaimanapun, pelajar tahfiz mempunyai pilihan yang terhad dalam peluang pekerjaan sekiranya mereka tidak mengembangkan kemahiran dan kebolehan mereka.
Katanya, ibu bapa akan lebih terbuka dalam dalam melihat idea untuk mengembangkan skop pembelajaran ini jika dilihat sebagai usaha memperluaskan peluang pilihan pekerjaan anak mereka.
“Isu yang kita lihat sekarang ini adalah ibu bapa meletakkan anak mereka yang mempunyai prestasi rendah di sekolah ke pusat tahfiz pada usia 13 tahun.
“Contohnya jika anda tak bagus untuk hal-hal di dunia (akademik), masuklah ‘dunia lain’ (agama). Oleh itu, TVET perlu diterapkan dalam sekolah-sekolah tahfiz ini,” kata Noor Azimah.
Mengulas perkara itu, Zahid mengakui terdapat ibu bapa yang menghantar anak bermasalah ke sekolah tahfiz dengan harapan kanak-kanak tersebut berubah ke arah kebaikan.
Katanya tindakan ini tidak adil bagi pihak sekolah tahfiz memandangkan pelajar yang mempunyai masalah disiplin serta tidak mempunyai pengetahuan asas agama sukar untuk dibentuk menjadi hafiz, katanya.
Sejak lima tahun lepas, beliau memerhatikan kira-kira 70% daripada pelajar tahfiz berkenaan merupakan pelajar dihantar oleh ibu bapa yang berpandangan seperti itu.
“Jadi dia (ibu bapa) hantar supaya anak dia jadi orang (berguna). Atau yang terlibat dalam gejala tak elok moga-moga jadi baik… sekurang-kurangnya jadi imam, bagi manfaat kepada masyarakat, baca Yasin kalau ibu bapa sakit atau meninggal.
“Tapi setelah adanya persatuan (tahfiz) bawa misi tahfiz kerajaan, baru nampak ibu bapa nak (anak belajar) tahfiz tapi ada (belajar) kemahiran, SPM untuk kerja dalam bidang profesional,” katanya. – 12 Ogos, 2018.
Komen