SEORANG beragama Islam dan seorang lagi penganut Kristian, tetapi perbezaan ini tidak menghalang kedua-dua wanita ini menggunakan dialog bagi mendidik masyarakat dengan memecahkan sempadan kaum dan agama.
Jika mereka berjaya mendapatkan peserta daripada latar belakang berbeza untuk mengelak menggunakan label tertentu ketika dialog yang sukar, itupun sudah dianggap kejayaan, kata wanita di belakang inisiatif Harmonyworks Facilitation, Patricia Rita Nunis dan Hamidah Marican.
Inisiatif itu disokong oleh Majlis Gereja Malaysia (CCM) menerusi sesi bertajuk “Membina Jambatan, Menghubungkan Komuniti”.
Nunis, pengarah pengasas inisiatif itu berkata idea itu timbul selepas melihat bagaimana cepatnya orang menghukum tentang kaum dan agama tanpa pemahaman penuh sesebuah kejadian. Katanya, perkara ini dapat dilihat dengan jelas dalam kumpulan borak internet apabila ramai orang melatah dalam perbincangan topik itu.
“Dalam kumpulan WhatsApp Kristian pun kita boleh nampak ia berlaku. Jika sesuatu berlaku di mana-mana tempat, perbincangan itu cepat sangat jadi perbincangan berasaskan kaum atau agama.
“Orang cenderung buat kesimpulan sendiri secepat mungkin. Apabila mereka buat begitu, ia membentuk salah tanggapan, salah persepsi dan menghukum, dan menghalang orang memahami satu sama lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tetapi pertemuan bersemuka dengan orang sebegitu kemudiannya menunjukkan mereka “agak rasional” selagi mana mereka sedia untuk mendengar, tambahnya.
“Mereka bersedia mengambil pandangan orang lain dan melihat dari mana mereka datang. Mungkin mereka tak bersetuju sepenuhnya tetapi mereka boleh menghargai yang mereka buat keputusan berdasarkan fakta yang mereka ada.
“Kemudian barulah mereka boleh bergerak ke depan selepas menjelaskan apa yang salah tanpa mengecam orang tersebut.”
Nunis berkata sesi anjuran Harmonyworks membantu peserta memahami satu sama lain tanpa menghukum.
“(Ia akan membantu memberi) alat untuk muhasabah andaian dan hukuman dan melihat isu itu dalam aspek baharu,” katanya.
Matlamatnya adalah untuk membantu orang menjadi pendengar yang lebih berkesan yang dapat menyuarakan pandangan mereka dalam adab yang lebih matang tanpa melabel orang lain, tambahnya.
Kisah peribadi
Sesi pertama diadakan pada Julai lalu dengan pelajar universiti, wakil badan bukan kerajaan dan kumpulan gereja, semua peserta berbilang kaum.
Harmonyworks sebelum inimempunyai penaja tetapi sudah menarik diri, jadi sekarang ia bekerja dengan CCM sahaja. Sesi seterusnya dijadualkan pada Oktober.
Ketua Setiausaha CCM Hermen Shastri berkata beliau percaya inisiatif itu berbeza daripada program antara agama yang lain.
Banyak program antara agama anjuran badan pemikir dan parti politik, tetapi Harmonyworks berbeza kerana ia cuba mendekati orang biasa tanpa tarikan “nama-nama besar”.
Ia hanyalah soal bertukar cerita dan pengalaman hidup, kata Hermen yang percaya berkuasa membantu orang menemui titik persamaan mereka.
“Seperti seorang daripada kaum tertentu berkongsi tentang bagaimana keretanya rosak dan seorang daripada kaum lain datang membantu. Semua ini cerita positif yang boleh menolak cerita negatif.
“Matlamat sesi ini adalah untuk mencari titik persamaan kemanusiaan dan kebaikan untuk semua kaum. Agama bukan faktor. Kita bermula dengan cerita orang berbanding bermula dengan dogma,” kata Hermen kepada The Malaysian Insight.
Mengubah masyarakat
Sesi seterusnya diharapkan dapat menarik wakil persatuan penduduk dan NGO lain kerana mereka adalah “orang biasa”.
“Kami mahu mendekati orang yang berhubungan dengan orang lain setiap hari. Kerana, sedihnya, proses pendidikan kita tidak memberikan kita alat untuk berdialog dengan matang dan cara terhormat,” kata Nunis.
“Kadang kala kita tidak digalakkan menjalankan dialog dengan kaum lain kerana bimbang mereka mempengaruhi kita. Ada banyak ketakutan yang memisahkan masyarakat, jadi kami merasakan kami boleh sediakan alat yang betul kepada komuniti supaya kitab oleh membina masyarakat yang lebih berpadu, terbuka dan bertolak ansur.”
Rakannya, Hamidah yang juga pengarah Harmonyworks berkata mereka mahu membantu masyarakat memahami apa yang “memandu” tingkah laku dan pemikiran supaya keterbukaan minda dapat disemai.
“Bila kita bercakap tentang persamaan orang Malaysia, kita selalu terfikir tentang makanan, tetapi ia bukan yang menyatukan kita. Apa yang kita mahu faham adalah apakah yang memandu tingkah laku kita dan apa yang kita mahu dapat melaluinya.
“Misalnya, ambil contoh pokok dan cabangnya adalah kaum berbeza. Apa yang kita mahu tahu adalah punca (akar) nilai yang kita kongsi bersama yang menyatukan negara ini.”
Dalam jangka masa panjang, semua usaha ini bermatlamat mempengaruhi dasar awam daripada soal pilihan kaum dalam borang sehinggalah kepada peluang pekerjaan berasaskan merit, kata Hamidah.
Jika masyarakat boleh terima perbezaan kaum dan percampuran identiti dan boleh menerima sepenuhnya meritokrasi pada masa hadapan, akan wujud satu hari hari di mana rakyat Malaysia tidak lagi perlu menonjolkan identiti kaum mereka. – 12 Ogos, 2018.
Komen