Berjimat supaya boleh buka pusat asuhan di agensi kerajaan, kata Hannah Yeoh


Melati A. Jalil

Kalau ada duit buat rumah terbuka, sudah tentu ada duit buka pusat asuhan, ia soal keutamaan, kata Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2018.

AGENSI kerajaan perlu mengutamakan penubuhan pusat asuhan kanak-kanak bagi kakitangan mereka dengan memotong perbelanjaan tidak perlu, kata Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh.

Yeoh berkata agensi kerajaan perlu menilai kembali bajet semasa mereka untuk menyelesaikan kekangan kewangan supaya selaras dengan arahan baharu yang mewajibkan semua pejabat kerajaan mempunyai pusat asuhan menjelang Januari tahun depan.

“Sehingga kami memaksa mereka perkara ini perlu jadi keutamaan kerana ia melibatkan keselamatan kanak-kanak yang merupakan aset kita, ia tidak akan berlaku,” katanya kepada wartawan pada sidang media selepas hadir di inisiatif Life at Work 2018 di Damansara.

“Saya masih nampak rumah terbuka (anjuran pejabat kerajaan) dan bagi saya mudah, jika kita ada duit untuk buat rumah terbuka, kita perlu ada duit untuk pusat asuhan.

“Sudah tentu orang akan kata rumah terbuka tak mahal sangat tetapi itulah saya kata bila kita jadikan sesuatu keutamaan, ia akan berlaku,” katanya menjawab soalan sama ada agensi kerajaan mempunyai bajet untuk membuka pusat asuhan sendiri.

Yeoh berkata kerajaan bertanggungjawab menjadi tauladan kepada sektor swasta.

“Jika kita gagal buat, kita hilang autoriti untuk beritahu orang luar supaya buat.

“Kenapa kami sangat berani untuk kata menjelang 1 Januari semua kena ada kemudahan untuk kanak-kanak? Sebabnya ia bukan pekeliling baharu, ia pekeliling sejak 1990-an,” katanya.

Arahan supaya semua agensi kerajaan dilengkapkan dengan pusat asuhan kanak-kanak menjelang Januari 2019 dikeluarkan selepas kematian Adam Rayqal Mohd Sufi, lima bulan yang ditemui dalam peti sejuk pengasuhnya bulan lepas. – 11 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen