KERAJAAN akan menjual kapal pelayaran mewah Equanimity secepat mungkin untuk meraih semula dana yang didakwa dicuri dari 1MDB, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Katanya kapal tersebut perlu dijual secepat mungkin kerana operasi untuk menyelenggara kapal tersebut semasa simpanan akan melibatkan kos tinggi.
“Tiada jangkamasa tertentu ditetapkan tetapi kita mahu jual kapal itu secepat yang mungkin.
“Kos penyelenggaraan ini sahaja mencecah RM2 juta sebulan. Kita harus belanjakan wang yang banyak untuk memastikan keadaan kapal ini terjaga,” katanya.
Tambahnya, Malaysia akan mengiklankan ke seluruh dunia untuk mencari pembeli yang berminat untuk membeli kapal layar berkenaan.
Dr Mahathir bercakap kepada pemberita selepas melawat kapal berkenaan yang ditahan di Terminal Boustead Cruise Center hari ini.
Katanya, beliau mendapati kapal tersebut dilengkapi pelbagai kemudahan tersebut gimnasium dan sauna.
“Ia adalah kapal yang mempunyai segalanya, besar dan lengkap. Gimnasium, sauna dan segala apa yang difikirkan perlu ada, sudah ada di atas kapal ini,” katanya.– 11 Ogos, 2018.
Komen