Saranan tolak Azmin hanya pandangan Abdullah Sani, kata Anwar


Asila Jalil

Presiden PKR Anwar Ibrahim mahukan ahli parti menumpukan perhatian kepada isu dasar parti dan mengelak mengeluarkan kenyataan menyerang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 Ogos, 2018.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim berkata kenyataan pemimpin parti yang menggesa ahli parti menolak penyandang Timbalan Presiden Azmin Ali dalam pemilihan hanyalah pandangan peribadi.

Beliau juga menggesa ahli parti menumpukan kepada isu mengenai dasar parti dalam membuat kenyataan berbanding serangan seperti itu.

“Itu adalah pandangan peribadinya. Saya mahu nasihatkan supaya mereka hadkan kepada isu dasar (dalam membuat kenyataan),” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani yang mendakwa Anwar hanya akan menjadi perdana menteri sekiranya Rafizi Ramli terpilih menjadi timbalan presiden PKR.

Abdullah mendakwa demikian kerana berpendapat Azmin disokong kuat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan penasihat kerajaan, Daim Zainuddin.

Abdullah berkata demikian dalam ucapan di acara kempen pasukan Rafizi, Reformasi 20 Tahun, di Johor Bahru malam tadi. – 11 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen