PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad melawat kapal pelayaran mewah Equanimity yang ditahan di Terminal Boustead Cruise Centre, Pulau Indah pagi ini.
Beliau tiba di terminal jam 11.40 pagi dan disambut Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong.
Turut hadir Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun, Panglima Angkatan Tentera Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.
Kapal mewah yang dianggarkan bernilai RM1 bilion dipercayai dibeli dengan menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kapal yang dipercayai milik ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low itu tiba di Malaysia dari Batam, Indonesia pada 7 Ogos lalu.
Penahanan kapal itu dibuat dengan bantuan kerajaan Indonesia yang membuat rampasan dan menyerahkannya kepada Malaysia.
Kapal itu pada awalnya disita di Bali pada Februari atas permintaan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ), namun pada April mahkamah Indonesia memutuskan pihak Indonesia tidak boleh bertindak sedemikian dan kapal itu perlu dikembalikan kepada pemiliknya.
Bagaimanapun kerajaan Indonesia merampasnya sekali lagi pada Julai. – 11 Ogos, 2018.
Komen