Betulkah P Ramlee rosakkan pemikiran Melayu?


Haris Hauzah

BEBERAPA minggu lalu, Mansor Puteh, seorang pengarah filem menyuarakan sikap dan pandangannya melalui Facebook mengenai seniman agong P Ramlee. Pengarah filem Seman yang sehingga kini masih belum dapat kita hirup aroma estetika dan nikmati zat pemikirannya itu berkata filem P Ramlee hebat dan disanjung. 

“Tetapi semua tak tahu banyak filemnya rosakkan pemikiran Melayu yang terkesan sehingga sekarang,” katanya.

Selain filem Seman yang sampai sekarang tidak ditayangkan di Malaysia, Mansor pernah membentangkan buah fikiran yang penuh inspirasi mengenai sinema Muslim sebagai anti tesis kepada filem-filem Hollywood. Pandangannya itu beliau bentangkan di persidangan karyawan seni umat Islam di Tehran sekitar Februari 1994.

Mansor dalam kertas kerjanya itu lantang mengkritik sinema Hollywood dengan membuat bermacam penegasan. Katanya, Hollywood memperkenalkan konsep yang sama sekali berbeza yang lebih menekankan emosi, aksi, mood malah muzik, bajet dan glamor di skrin serta di luar skrin melalui gaya hidup pelakon-pelakonnya.

Beliau justeru mengajak dunia Islam mengubah sinemanya dengan memperkenalkan unsur-unsur moral dan teologi sebagai sebuah gagasan baharu dalam bahasa sinema. Maka sudah tentu, menurutnya lagi, untuk melakukan perubahan itu, penilaian kreatif perlu mengambil kira nilai-nilai suci keagamaan dan murni moral sebagai prasyarat utama sebuah filem yang bermutu dan baik.

Mansor dilihat mahu menciptakan suatu bentuk gagasan filem baharu anti Hollywood. Beliau mengajak sinema kita (Melayu dan Islam) menjadikan keagungan spiritual, kesucian moral dan kebenaran monoteisme sebagai anutan, lalu menggenggamnya kuat sebagai kayu ukur sebuah filem yang sempurna dan baik dengan paduan tema, lakonan dan teknik.

Iya, Mansor berbicara tentang keaslian dan perubahan seni yang sarat falsafah dan pemikiran dari sisi kajian serta pemerhatian yang penuh semangat akademik. Ia nyata berbeza sekali dengan sisi penuh seni yang turut berisi pemikiran dan falsafah yang ditunjukkan oleh P Ramlee.

Dakwaan Mansor bahawa banyak filem P.Ramlee merosakkan pemikiran orang Melayu yang sampai hari ini terkesan seharusnya dipanjangkan dengan hujahan fakta dan alasan.

Mansor terlalu bersemangat dan beriya-iya mahu sinema kita “disunatkan”. Beliau lalu menuntut sinema kita dijadikan sinema “dakwah” penuh dogma dengan melakukan tafsiran sempit bahawa sebuah gagasan filem hanya berada dalam ruang kotak fikir agama dan nilai moral tertentu sahaja.

Mansor barangkali terlepas pandang tentang kekayaan dan kekuatan filem Semerah Padi dengan visi juang transendental dan profetik yang teguh berakar dengan falsafah dan pemikiran. Ternyata filem Semerah Padi terlebih dahulu dihasilkan sebelum Mansor membentangkan kertas kerjanya itu.

Gagasan besar pemikiran Islam, intelektualisme dan peradaban yang P Ramlee sumbat dalam filem Semerah Padi sering diabaikan oleh ramai pengkritik termasuk Mansor.

Semerah Padi sebuah filem yang mengangkat tauhid sebagai isinya untuk mencungkil spiritual khalayak dengan meletakkan Al-Quran dan Sunnah sebagai tunjang hukum yang bebas dari sebarang pengaruh sekular.

Mansor juga seharusnya sedar bahawa filem ini sumbangan seorang ilmuan yang mau membangkitkan kesedaran dalam masyarakatnya. P Ramlee bertindak sebagai seorang intelektual yang mengangkat pendidikan, akhlak dan kemanusiaan untuk menjelaskan masalah dan penyakit masyarakat lalu memperdalamkan wacana punca dengan menawarkan penyelesaiannya.

Dinamika peradaban filem Semerah Padi diangkat dengan begitu padat, lalu dengan kemas disepahkan ke setiap sudut penceritaan. Keupayaan Semerah Padi mencerap budaya nusantara Melayu tempatan dalam lenggok cerita serta estetika visual berjaya mengekalkan sifat dan budaya tempatan tanpa mengabaikan tafsiran universal yang cukup luas.

Watak-watak dalam Semerah Padi adalah manusia yang semahunya melaksanakan apa yang diserukan oleh Mansor dalam kertas kerja yang dibentangkan di Iran itu. Beginilah bentuk sebuah filem bertema tauhid yang mahu mengangkat agama sebagai iman dan kepercayaan. 

Semerah Padi tak ubah seperti sebuah risalah dengan tugas dan tujuan yang jelas menurut mahunya Tuhan. Semerah Padi muncul jadi sebuah filem yang meluruskan pertentangan pemikiran Islam dan sekular barat melalui isi-isi didaktiknya.

Hassan Abd Muthalib dalam bukunya Malaysian Cinema in a Bottle memetik pandangan wartawan Aimi Jarr yang merupakan editor majalah filem terbitan P Ramlee. Katanya, Semerah Padi lahir daripada pemerhatian seniman agung itu terhadap Melayu di Singapura pada masa itu yang mengambil ringan soal agama.

Makanya, dari celah mana Mansor tergamak mengatakan filem P Ramlee telah berjaya merosakkan pemikiran bangsa Melayu yang terkesan hingga ke hari ini?

Bahkan P. Ramlee terlalu banyak menghasilkan filem-filem yang mengangkat tema kemanusian yang membawa isu moral dan perpaduan yang selama ini mengongkong pemikiran bangsa akibat kuatnya pengaruh feudal.

Filem-filem komedi P Ramlee ternyata berani—halus pada seni namun jelas pada sikapnya. Banyak filem P Ramlee yang mengkritik penguasa termasuk yang berdarah raja. Karya-karya P Ramlee meninggikan pemikiran bangsanya sendiri melalui kritikan sosial dan politik yang dibuat dengan berani dan bersahaja.

Karya-karya P Ramlee membebaskan manusia untuk jadi lebih manusiawi. P Ramlee telah mengajarkan kita bahawa seni itu terlalu indah, dan kerana keindahan itulah maka kita seharusnya berani untuk menjadi suatu kuasa pembebasan yang berhasil untuk membebaskan. 

P Ramlee telah menunjukkan kita jalan untuk bebas dari hawa nafsu, bebas dari kekejaman kekuasaan dan feudal, serta berani bangkit melawan kejahatan kapitalisme, sementara Mansor mengajak masyarakat menjejaki jalur “auteur” dengan menanggapi sejarah perfileman P Ramlee yang kononnya sesat larat. – 11 Ogos, 2018.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen