Nasib projek ibu pejabat baharu akan ditentukan, kata Umno


Kamles Kumar

KEPIMPINAN baharu Umno akan membincangkan status ibu pejabat baharu parti yang dirancang untuk dibangunkan di kawasan segi tiga emas di Kuala Lumpur, kata setiausaha agungnya Annuar Musa.

“Kami belum membincangkannya lagi. Keutamaan kami ialah keperluan pada masa ini. Ada kepimpinan baharu, maka akan ada pemikiran dan hala tuju baharu,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu temu bual eksklusif.

Beliau berkata keutamaan sekarang ialah untuk parti mendapatkan semula RM116.7 juta yang dirampas oleh pihak berkuasa daripada premis dikaitkan dengan bekas perdana menteri dan juga bekas presiden Umno Najib Razak, dalam siasatan terhadap skandal 1MDB.

Projek mercu tanda itu dilancarkan oleh Najib ketika perhimpunan ulang tahun ke-71 parti itu pada 11 Mei, 2017.

Tapak bagi menara 70 tingkat yang terletak sebelahan dengan bangunan ibu pejabat induknya sekarang bakal menjadi premis baharu Umno.

Upacara pecah tanah gilang gemilang itu disiarkan secara langsung dari tapak projek di Jalan Putra ke Stadium Nasional Bukit Jalil ketika perhimpunan itu berlangsung.

Ibu pejabat baharu Umno itu akan bertempat di menara di PWTC, yang akan dibangunkan semula. Projek itu juga akan membabitkan pengubahsuaian Dewan Merdeka dan Menara Dato Onn.

Pejabat dan hotel 70 tingkat itu akan dibina di tapak tempat letak kereta dan Terminal Bas Hentian Putra. Projek itu dijangka siap pada 2020.

Susulan kekalahan Barisan Nasional dalam PRU14, Umno melihat laluan baharu sebagai parti pembangkang dengan pendapatan yang berkurangan berbanding ketika memegang kuasa.

Annuar juga berkata Umno mempertimbangkan untuk menyaman pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung rampasan wang RM116.7 juta yang dibuat ketika serbuan di premis berkaitan dengan Najib.

“Kami akan ikut prosesnya. Kami sudah melantik peguam. Peguam sedang mengambil tindakan terhadap SPRM atau sesiapa yang terbabit dalam rampasan wang itu.

“Apa yang kami tahu selepas pilihan raya, ada banyak dana politik, bakinya disimpan oleh pihak tertentu dan wang itu sudah dirampas,” katanya dalam temu bual itu.

Najib dan Umno mendakwa wang berkenaan milik parti.

Pada Jun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Amar Singh Ishar Singh berkata RM116.7 juta dalam 26 mata wang, disimpan dalam 35 beg dirampas dalam serbuan yang dijalankan sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap skandal 1MDB.

Barangan mewah lain turut dirampas termasuk 12,000 barangan kemas, 423 jam tangan, 234 cermin mata hitam dan 284 beg tangan.

Bagaimanapun, Annuar berkata Umno tidak berminat dengan barangan mewah atau barang kemas itu.

Katanya, barangan itu bukan milik Umno.

“Itu tiada kaitan dengan kami. Umno tidak pakai subang dan cincin. Ia bukan milik kami dan kami tidak mahu tahu tentangnya,” katanya.

Berkenaan keadaan kewangan parti, Annuar berkata parti mendapat sumbangan dalam mengendalikan keperluan hariannya.

“Kami ada ahli. Tiga juta ahli dan kami juga ada orang yang berhutang dengan Umno. Jadi bila kami perlukan wang, akan ada orang yang datang bantu.

“Saya pasti ada banyak orang sanggup untuk bantu dan bersama kami dalam meneruskan perjuangan. Kami akan bertahan, jangan risau,” katanya.

Susulan kekalahan BN dalam PRU14, Najib membuat keputusan tidak bertanding dalam pemilihan Umno. Bekas timbalannya Ahmad Zahid Hamidi kemudian dilantik sebagai presiden baharu parti. – 12 Ogos, 2018.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen