Ketua hakim negara bantu bersihkan ‘kampung sampah’ di Sabah


Jason Santos

Kampung Sembulan Tengah di Kota Kinabalu yang terletak berhampiran kawasan hotel terkemuka di ibu kota itu, dianggap sebagai tempat pembuangan sampah suatu ketika dulu. – Gambar The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2018.

KETUA Hakim Negara Richard Malanjum, yang mengetuai kakitangan mahkamah termasuk hakim lain bergotong-royong membersihkan kompleks mahkamah Kuala Lumpur baru-baru ini, pernah menggunakan kaedah sama untuk mengubah Kampung Sembulan Tengah di Kota Kinabalu, dua tahun lalu.

Penduduk kampung ingat episod itu dan melihat sendiri hakim yang dihormati turut sama mengotorkan tangan membersihkan kawasan kampung.

Kampung yang pernah dilihat seperti tapak pembuangan sampah dan memalukan Kota Kinabalu, kini bukan saja bersih, tetapi kes denggi di situ juga semakin berkurangan. Ia juga sedikit sebanyak berjaya mengikis imej lokasi jenayah dan dadah.

Ainah Bantul, 60, yang tinggal di kampung itu sejak lebih 20 tahun lalu berkata kawasan itu dulu seperti tempat pembuangan sampah.

Kampung itu terletak berhampiran kawasan hotel terkemuka Kota Kinabalu dan hampir dengan Sutera Harbour Resort.

“Tetapi bila Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) datang bersama sekumpulan hakim, kami semua kena buang perangai lama.

“Sekarang tidak ada sesiapa berani buang sampah di luar pintu, termasuk saya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Persekitaran lebih bersih dan kehadiran anggota penguatkuasaan juga menyebabkan aktiviti dadah berkurangan.

“Saya tahu masih ada orang jual dadah di sini, mungkin melepak di kawasan berhampiran, tetapi mereka tidak lagi buat secara terbuka seperti dulu,” kata Ainah.

Tahap kebersihan Kampung Sembulan Tengah di Kota Kinabalu kini boleh dibanggakan dan penduduknya lebih bertanggungjawab dengan membuang sampah dalam tong sampah. – Gambar The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2018.

Kira-kira 1,000 penduduk termasuk pendatang tinggal di kampung itu. Ia masih kampung yang bersih sehingga 1980-an, tetapi penambakan tanah di sepanjang pesisiran pantai Sembulan dan pembinaan lebuh raya menyebabkan kampung nelayan itu hilang pemandangan indahnya, pokok kelapa dan matahari terbenam.

Pendatang membanjiri kampung itu, membina rumah haram sementara mencari kerja di tapak pembinaan dan restoran; gaji rendah menyebabkan mereka terdorong melakukan jenayah dan dadah.

Keadaan itu menyebabkan ramai penduduk asal kampung keluar kerana penempatan haram semakin meluas.

Kampung itu semakin merosot, dengan sampah sarap di situ terlalu banyak sementara Kota Kinabalu berubah wajah dengan banyak bangunan baharu.

Pada 2015, Agensi Antidadah Kebangsaan mengisytiharkan Kampung Sembulan sebagai salah satu daripada dua lokasi dadah di ibu kota itu. Sebelum itu pad 2013, DBKK mengisytiharkan kampung itu sebagai “kawasan hitam” kerana kadar jenayahnya yang tinggi.

Kebakaran pada 2016 mencetuskan perubahan.

DBKK menghalang pendatang haram kembali untuk membina semua rumah mereka di kampung itu dan kehakiman Sabah, yang ketika itu diketuai oleh Malanjum yang juga ketua hakim Sabah dan Sarawak, mengadakan gotong-royong di kampung itu pada 24 Julai, 2016.

Aktiviti itu diadakan sebagai program bantuan dianjurkan oleh Kumpulan Kerja Alam Sekitar Mahkamah Sabah.

Lebih 67 tan sampah dibersihkan hari itu tetapi Malanjum, tahu satu gotong-royong tidak akan dapat mengubah apa-apa.

Kira-kira 37 ketua keluarga kemudian diseret ke mahkamah dan didakwa kerana membuang sampah. Tetapi, daripada dikenakan denda RM10,000, mahkamah kemudian memerintahkan mereka melakukan kerja kemasyarakatan.

Di bawah Perintah Kehadiran Wajib oleh mahkamah, penduduk kampung perlu membersihkan rumah mereka selama empat jam sehari, selama sebulan.

Selepas itu, pegawai DBKK ditempatkan di kampung itu setiap hari di bawah perintah Datuk Bandar Kota Kinabalu Yeo Boon Hai.

Selama dua tahun, pegawai memantau penduduk kampung, memastikan setiap orang menggunakan tong sampah awam yang diletakkan di sekitar kampung. – 19 Ogos, 2018.

Baca berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen