PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mahu anak muda di Malaysia membuang tabiat buruk dan membentuk jati diri pemimpin masa akan datang.
Beliau berkata, semasa lawatannya ke Jepun baru-baru ini, rakyat negara yang terkenal dengan disiplin itu mahu dirinya menjadi contoh kepada anak-anak mereka.
“Rakyat Jepun membesarkan anak mereka mengikut etika tertentu. Saya dipilih untuk mengalakkan etika Jepun kepada rakyat Jepun,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berharap rakyat Malaysia, khususnya anak muda, akan mengikut “sistem nilai yang betul”.
“Banyak anak muda kita yang tidak minat belajar dan bekerja. Sebaliknya, mereka lebih berminat jadi ‘mat rempit’ dan pelbagai lagi kegiatan tidak membina,” katanya pada sidang media.
Pengerusi Pakatan Harapan berkata antara cara bagi menangani isu ini adalah dengan mengubah suai sistem pendidikan.
“Kita harus menangani masalah ini menerusi sistem pendidikan. Terdapat keperluan untuk membentuk pemimpin masa akan datang. Kita mungkin perlu melatih ramai orang untuk menjadi pemimpin negara kita,” tambahnya.– 11 Ogos, 2018.
Komen