BERSATU akan melebarkan sayapnya ke Sarawak, kata pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir, yang juga merupakan perdana menteri berkata, terdapat 30,000 ahli Bersatu di negeri itu.
“Ramai rakyat di Sarawak berminat untuk menyertai Bersatu. Sudah ada 30,000 ahli dan kami akan berusaha untuk melancarkan parti ini di Sarawak,” kata Dr Mahathir pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata sesiapa pun di Sarawak dialu-alukan untuk menyertai Bersatu, tetapi tidak berniat untuk bertelagah dengan mana-mana parti di sana.
“Kami boleh menerima semua permohonan untuk menjadi ahli Bersatu tetapi akan memastikan yang tidak ada pertindihan dengan kepimpinan Sarawak,” kata Dr Mahathir.
Minggu lalu, Bersatu dikatakan akan membuka cawangan di Sarawak, ia bagaimanapun dinafikan pemimpin parti itu.– 11 Ogos, 2018.
Komen