SEKARANG bukan masa yang sesuai untuk menaikkan gaji penjawat awam kerana negara kini menanggung hutang yang besar, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata walaupun Kabinet sudah membuat keputusan untuk menaikkan gaji secara berperingkat, ia masih tidak boleh dilaksanakan oleh Putrajaya.
“Kerajaan kini berhadapan waktu sukar untuk meningkatkan pendapatan. Kami perlu membayar hutang. Ia bukan masa yang sesuai untuk kita memberikan gaji lebih tinggi kepada penjawat awam,” kata Dr Mahathir pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu.
Bagaimanapun, katanya jika rakyat Malaysia mampu meningkatkan produktiviti, ada peluang cerah untuk naik gaji, kata Dr Mahathir.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai janji Pakatan Harapan untuk meningkatkan gaji minimum.
Pengerusi PH itu menambah yang Kabinet sudah membuat keputusan mengenai dasar menaikkan gaji minimum namun tidak dapat dilaksanakan pada masa ini.
“Kami hanya menubuhkan dasarnya tetapi ia tidak boleh dilaksanakan dengan segera kerana kami merupakan majikan terbesar dengan 1.6 juta (penjawat awam),” katanya yang juga pengerusi Bersatu.
Menyelaraskan gaji minimum di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan adalah salah satu daripada 10 janji 100 hari PH.
Buat masa ini, gaji minimum di Semenanjung Malaysia adalah RM1,000, sementara Timur Malaysia RM920. PH berjanji menaikkan gaji minimum kepada RM1,500.– 11 Ogos, 2018.
Komen