SABAH merekodkan kes kedua selsema burung, kali ini di Kampung Loputong yang terletak kira-kira lima kilometer daripada lokasi kes pertama dikesan di Kampung Kauluan di Tuaran.
Perkara itu disahkan oleh Jabatan Veterinar Sabah berdasarkan ujian awal yang menunjukkan positif virus influenza avian di kampung berkenaan.
Pengarah operasinya Dr Vitalis Piusai bagaimanapun berkata jabatan itu masih menunggu keputusan lengkap daripada tindak balas rantaian polimerase dari sampel yang diambil daripada lokasi.
“Kawasan baru telah dikesan sejak 8 Ogos. Tiada ladang penternakan komersil di kampung itu dan pembersihan hanya akan melibatkan ternakan penduduk sahaja kali ini,” katanya.
Jabatan itu sebelum ini menjalankan usaha untuk mengekang penularan virus berkenaan dan memusnahkan lebih 30,000 unggas di Kampung Kauluan berdekatan Tamparuli di Tuaran.
Dr Piusai juga berkata operasi untuk memusnahkan unggas di kawasan baharu itu akan mengambil masa dua hari. – 10 Ogos, 2018
Komen