Rahmatan Lil Alamin, Mujahid bersendirian?


Zainal Rashid Ahmad

SIAPA yang akan bertanggungjawab mempromosi Islam sebagai agama rahmatan lil alamin?

Siapa yang akan bangkit menjelaskan secara strategik dan berdakwah secara berjemaah untuk mempromosi kehebatan Islam sebagai agama yang mampu memberikan rahmat kepada manusia di seluruh alam?

Soalan ini barangkali dianggap pelik. Atau diperlekehkan secara prejudis. Atau lebih teruk lagi, diseret menjadi debat politik. Menimbulkan sensasi terutama mengaitkan agama dengan politik memang sangat mudah. Usaha dakwah boleh saja diremehkan hanya dengan syak wasangka politik.

Seseorang yang terlalu obses pada politik dengan cepat akan menjadikan istilah rahmatan lil alamin sebagai agenda Islam tajaan Pakatan Harapan (PH) demi mengisi era Malaysia baharu – seterusnya mempolitikkan isu ini.

Begitulah – politik tetap politik. Sentiasa berkecamuk dengan prasangka. Politik akan membunuh apa sahaja atas nama permusuhan. Politik akan tetap dijadikan ukuran utama, sekali pun dalam soal dakwah yang sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama demi kebaikan ummah.

Apa pun, lupakan sejenak soal politik. Alangkah baik sekiranya kita melihat tanggungjawab dakwah dalam skop yang lebih luas dan akal yang lebih jauh. Kita lapangkan dada serta luaskan minda, demi mencari titik persamaan yang dinamik.

Dakwah

Atas nama Islam, sewajarnya kita menyeru para pendakwah dan ilmuan Islam untuk melihat potensi rahmatan lil alamin sebagai satu peluang mendakwahkan syiar Islam dalam mengisi era baharu ini.

Pada era persepsi Barat telah berjaya mencetuskan Islamofobia, serta tempiasnya turut menular di negara ini, tiba masanya usaha mempromosi rahmatan lil alamin disepadukan. Saf dakwah harus dirapatkan demi meyakinkan semua pihak – bahawa Islam agama yang menyeru pada kerahmatan dan kesejahteraan.

Masyarakat awam harus diperjelaskan betapa konsep rahmat ke seluruh alam adalah kunci dalam konteks membina tamadun negara bangsa yang baharu. Lebih penting lagi, usaha ke arah meyakinkan masyarakat bukan Islam, bahawa konsep kerahmatan ini mampu memanfaatkan kualiti hidup bermasyarakat dan bernegara dalam tamadun manusia sejagat.

Secara ilmu, tiada siapa boleh menafikan konsep rahmatan lil alamin perlu dipromosikan secara bijak dan berhikmah. Ia usaha dakwah yang mampu menerajui momentum pembinaan Malaysia baharu.

Namun, jangan lupa. Jemaah dakwah kita kini telah dijarakkan oleh prasangka politik. Agama ialah platform yang paling mudah dipolitikkan dan sejarah membuktikan umat Islam telah dan sedang berpecah akibat polemik agama yang dipolitikkan.

Soalan utama: Apakah hanya kerana kaitannya dengan era pembaharuan kerajaan PH, perjuangan rahmatan lil alamin harus diprejudiskan dan disensasikan sebagai kalimah bermotif politik?

Makna

Sebelum pergi lebih jauh untuk mencari relevannya kita berdakwah secara berjemaah, elok kita renung sejenak makna rahmatan lil alamin demi menjernihkan kefahaman kita.

Dalam konteks awam, rahmatan lil alamin adalah memahamkan bahawa asas Islam sebagai agama yang diturunkan kepada manusia demi perdamaian, bertoleransi serta penuh dengan kelembutan dan kasih sayang.

Rahmatan lil alamin bermakna Islam menolak kekerasan, keganasan, kebencian dan kezaliman terhadap manusia secara keseluruhannya.

Kita selami rahmatan lil alamin terlebih dulu. Mari kita lihat tafsir dari ayat yang menjadi sumber kalimat tersebut: Al-Quran surat Al-Anbiya ayat 107: 

“Kami tidak mengutus engkau, wahai Muhammad, melainkan sebagai rahmat bagi seluruh manusia.”

Nabi Muhammad diutus menyebarkan ajaran Islam dengan seruan agama, wahyu ini adalah rahmat bagi seluruh manusia.

Justeru, dakwahnya turut menyantuni masyarakat Islam dan bukan Islam. Justeru, peranan kita dalam menerima kerja dakwah rahmati lil alamin harus ada keterbukaan. Kita berpegang bahawa konsep ini adalah berteraskan agama. Bukan politik.

Pada masa ini, rahmatan lil alamin seakan-akan terbeban pada Menteri Agama, Dr Mujahid Yusof Rawa. Secara sekilas, Mujahid dianggap bertanggungjawab sebagai menteri kerajaan PH kerana rahmatan lil alamin disenaraikan sebagai semangat Janji 11 dalam Pakatan Harapan ketika kempen PRU14 lalu.

Politik

Politik sudah lama merenggangkan saf dakwah Islam. Politik telah menyebabkan banyak kerja jemaah dalam konteks Islam diabaikan apabila ia diprejudiskan oleh syak wasangka ideologi politik.

Justeru, apakah lima tahun ini, hanya kerana rahmatan lil alamin berkait dengan era pembaharuan, Dr Mujahid dan pasukannya harus bekerja secara silo semata-mata kerana rahmatan lil alamin lahir daripada Manifesto PH pada PRU14 lalu?

Ini cabaran terbesar Dr Mujahid dalam mendapatkan jemaah dakwah bagi membantu usaha menyebarluaskan kefahaman mengenai rahmatan lil alamin. Setelah hampir 100 hari PH membentuk kerajaan, Dr Mujahid kelihatan sangat bersendirian.

Mustahil dalam dunia dakwah hari ini, hanya Dr Mujahid yang faham mengenai kehebatan Islam dalam konteks menjadikan wahyu Allah ini difahami rakyat Malaysia. Apatah lagi, tugas menjelaskan secara mesra konsep rahmatan lil alamin kepada masyarakat bukan Islam.

Kita memerhati dan menantikan para pendakwah dan ilmuan Islam serta NGO untuk ikut serta memakmurkan dakwah rahmatan lil alamin. Atas niat usaha ini demi Allah dan Islam. Berjemaah dalam dakwah dengan niat beribadah tanpa sebarang prasangka politik.

Persoalannya: Apalah para pendakwah, ilmuan dan NGO sanggup mengenepikan prasangka politik demi menyebarkan kunci utama kekuatan Islam dalam mensejahterakan negara? Atau, apakah rahmatan lil alamin akan dijadikan mangsa prasangka politik?

Sikap senyap para pendakwah, tokoh ilmuan dan pertubuhan Islam dalam menyahut seruan menyebarluaskan konsep rahmatan lil alamin amat mendukacitakan. 

Kita masih di takuk lama rupanya.

Kita lebih memikirkan soal politik hingga melangkaui kemuliaan berdakwah demi agama. – 10 Ogos, 2018

 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen