PERBICARAAN kes penyelewengan bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan RM42 juta daripada bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dimulakan pada Februari.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh perbicaraan bermula pada 18 hingga 28 Februari dan 4 hingga 29 Mac.
Pengurusan kes pusingan kedua, yang akan menetapkan perbicaraan lanjut, ditetapkan pada 4 Oktober.
Bekas perdana menteri itu berdepan tujuh pertuduhan; tiga pertuduhan pengubahan wang haram, tiga lagi kerana pecah amanah dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa.
Beliau didakwa menerima sebanyak RM42 juta menerusi akaun peribadinya, yang didakwa dicuri daripada 1MDB menerusi bekas anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd.
Terdahulu, pihak pendakwa raya meminta supaya perbicaraan dimulakan pada November, yang mana peguam utama Najib Muhammad Shafee Abdullah berkata ia tidak dipersetujui pada 4 Julai ketika Najib pertama kali didakwa oleh peguam dari Jabatan Peguam Negara, yang diketuai oleh Peguam Negara Tommy Thomas.
“Saya yang mencadangkan (perbicaraan) pada November dan ke atas, namun mereka kata ia mustahil. Itulah sebabnya kami menyekat bulan Februari dan Mac (untuk tarikh perbicaraan).
“Saya tidak faham mengapa kita dalam keadaan tergesa-gesa untuk memulakan perbicaraan, saya berkelapangan pada November tetapi pihak pendakwa raya tidak terima.
“Mereka kata tak setuju bulan November, tetapi beberapa bulan lepas itu, mereka ubah fikiran,” kata Shafee.
Timbalan pendakwa raya Hanafiah Zakaria berkata tarikh perbicaraan tidak harus “ditangguhkan secara tidak munasabah”.
Nazlan mencadangkan akhir Disember sebagai tarikh perbicaraan, namun Shafie berkata beliau bercuti ketika itu.
“Ia bukan perkara biasa yang saya lakukan. Biasanya saya ambil dua hingga tiga hari cuti. Ini pertama kali saya ambil cuti dalam tempoh 10 tahun.”
Nazlan mencadangkan tarikh perbicaraan bermula pada akhir Januari, yang mana dibantah Shafie kerana beliau mungkin perlu menggulung hujah dalam satu perbicaraan penting.
“Saya tidak boleh lompat dari satu kes ke satu kes. Saya perlu masa untuk pulih dan dapatkan bacaan,” kata Shafee.
Tarikh pengurusan kes turut ditangguhkan sehingga Oktober kerana Shafee perlu menghadiri persidangan di Maghribi.
“Ia berkaitan kerja,” kata peguam itu. – 10 Ogos, 2018
Komen