SIDANG Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang pertama selepas Pilihan Raya Umum ke 14 ditutup dengan pelantikan Lim Hui Ying dan Yusmadi Yusoff sebagai senator.
Kedua-dua mereka akan mewakili Pulau Pinang di Dewan Negara selama tiga tahun.
Hui Ying, 55 merupakan anak kepada pemimpin veteran DAP dan Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang dan adik kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang merupakan bekas ketua menteri Pulau Pinang.
Lulusan pengajian ekonomi Universiti Malaya itu juga merupakan setiausaha DAP Pulau Pinang dan merupakan pengarah kempen untuk parti itu pada pilihan raya umum ke 13 dan 14 yang menyaksikan DAP menang besar di negeri itu.
Yusmadi 44, merupakan bekas ahli Parlimen Balik Pulau dari 2008 hingga 2013, dan merupakan peguam hak asasi manusia terkenal dari PKR.
Pencalonan mereka oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow disokong oleh semua ahli Dewan.
Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri turut dilantik dengan ketua pembangkang Muhammad Yusoff Mohd Nor (BN-Sungai Dua) sebagai pengerusinya.
Ahli dari Pakatan Harapan adalah Chris Lee (Pulau Tikus), Syerleena Abdul Rashid (Seri Delima), M. Satees (Bagan Dalam), Lee Khai Loon (Machang Bubuk), Dr Norlela Ariffin (Penanti), Gooi Hsiao-Leung (Bukit Tengah), Faiz Fadzil (Permatang Pasir), dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang). Ahli yang terakhirnya adalah dari PAS Mohd Yusni Mat Piah (Penaga).
Tugas jawatankuasa PAC adalah untuk menyemak akaun dan laporan Ketua Audit yang dibentangkan di Dewan, atau perkara berkaitan dengannya. – 10 Ogos, 2018.
Berita penuh di sini.
Komen