Pulau Pinang catat pelaburan RM1 bilion pada suku pertama 2018 


Looi Sue-Chern

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri akan terus berusaha untuk mengembangkan promosi untuk pelaburan asing di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2018

PULAU Pinang merekodkan RM1 bilion pelaburan pada suku pertama tahun ini, kata Ketua Menterinya Chow Kon Yeow. 

Katanya pelaburan asing menyumbangkan sebanyak RM580 juta manakala RM439 juta adalah daripada pelaburan domestik. 

Tahun lalu, negeri itu menarik paling banyak pelaburan asing untuk sektor perkilangan di negara ini iaitu pada RM8.5 bilion. Jumlah keseluruhan RM10.8 bilion merupakan yang kedua tertinggi di Malaysia pada 2017. 

Penyumbang paling besar adalah dalam industri elektrik dan elektronik, yang menjana sebanyak RM6.7 bilion tahun lalu. 

Chow, yang dilantik sebagai ketua menteri pada Mei tahun ini berkata, Pulau Pinang akan meneruskan usaha promosi mereka untuk menarik pelabur baharu dan mengekalkan yang sedia ada, sementara terus berdepan dengan cabaran global. 

“Kita sedang melihat lebih dekat isu tariff antara China dan Amerika Syarikat, yang memberi kesan kepada ekonomi global. 

“Pulau Pinang akan terus bekerja dengan agensi persekutuan dan negeri seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia untuk mempromosikan pelavuran di Malaysia,” katanya ketika penggulungan di Dewan Undangan Negeri hari ini. 

Sementara itu Chow turut mendedahkan perkhidmatan bas percuma CAT (Congestion Alleviation Transport) yang dilancarkan pada April tahun ini menarik minat kerajaan persekutuan. 

Katanya, Pulau Pinang telah dijemput untuk membentangkan tentang perkhidmatan CAT kepada Majlis Pengangkutan Nasional yang akan mengadakan pertemuan tidak lama lagi.  

“Kami diminta untuk membentangkan mengenai perkhidmatan itu bagi melihat sama ada ia boleh dilaksanakan di negeri atau bandar lain,” katanya. 

Kerajaan Pulau Pinang menbayar sebanyak RM15 juta setahun kepada Rapid Penang untuk perkhidmatan percuma, yang dijalankan di beberapa laluan utama di pulau dan tanah besar. 

Chow, dalam ucapannya sedia maklum dengan permintaan beberapa Adun yang mahu perkhidmatan bas percuma dikembangkan di kawasan mereka. 

Beliau berkata, perkhidmatan itu boleh ditingkatkan bagi membolehkan ia dioptimumkan untuk kemudahan rakyat. – 10 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen