Shafie digesa beri kerja kepada warga tempatan, bukan pendatang haram  


Jason Santos

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal sebelum ini mengumumkan untuk menyediakan pas kerja khas kepada pendatang haram yang bekerja di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2018

KETUA Pemuda Umno Sabah mahu kerajaan negeri pertimbangkan semula langkah untuk menyediakan pas kerja khas untuk pendatang tanpa izin di negeri itu. 

Abdul Aziz Julkarnain berkata, peluang pekerjaan sepatutnya diberikan kepada warga tempatan dan bukan kepada pendatang yang kebanyakan mereka terbabit dengan kegiatan jenayah di Sabah. 

Lebih memburukkan keadaan katanya, stigma sosial yang wujud dalam kalangan masyarakat Sabah berikutan pencerobohan di Tanduo pada 2013, adalah daripada waris mereka dari Selatan Filipina, tambahnya. 

Abdul Aziz juga percaya terdapat banyak agenda tersembunyi untuk menjadikan Sabah sebagai sebahagian daripada wilayah Filipina dengan memberikan dokumen kepada pendatang di negeri itu. 

“Atau ini merupakan kebetulan bagi kerajaan negeri menyediakan pas kerja untuk mereka berikutan cubaan bekas senator Filipina yang cuba menjadikan Sabah sebagai negeri ke 13 Filipina?” soalnya. 

“Kerajaan perlu hormati kedaulatan dan undang-udang yang termaktub pada Rukun Negara. Kerajaan perlu tegas terhadap pendatang yang melanggar undang-undang di Malaysia,” tambahnya. 

Abdul Aziz berkata, ini merupakan maklum balas kepada pengumuman Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal untuk memberikan pas kerja khas kepada pendatang haram di negeri itu.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, ia perlu memberi keutamaan kepada warga tempatan sebelum membuka peluang kepada pendatang asing. 

“Memberi mereka pas kerja adalah bertentangan dengan jaminan Shafie pada Mei untuk menamatkan isu pengangguran di sini,” katanya.

Tambahnya, pemberian pas kerja kepada pendatang haram hanya akan menggalakkan lebih ramai warganegara jiran untuk memasuki Sabah secara haram bagi mencari pekerjaan. – 10 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen