Liputan meluas mungkin jejas perbicaraan, kata peguam Najib


Bede Hong

Kes Najib Razak meraih publisiti meluas bukan sahaja di dalam negara malah menjadi perhatian luar negara yang dikhuatiri mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2018.

PEGUAM Najib Razak mendakwa liputan media yag meluas ke atas perbicaaan kes rasuah dihadapi anak guamnya boleh menjejaskan prosiding dan keputusan perbicaraan.

Pasukan peguam Najib memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, publisiti yang diterima tidak memihak kepada bekas perdana menteri itu.

Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan Najib antara lain membangkitkan kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Peguam Negara Tommy Thomas sebagai contoh kenyataan yang didakwanya berat sebelah.

Selain itu, beliau juga membangkitkan kenyataan ahli Parlimen DAP Tony Pua dan juga tulisan dalam portal Sarawak Report serta komentar dalam portal lain.

Katanya, kenyataan umum dan liputan ke atas perbicaraan itu mungkin memberi kesan “di bawah sedar” ke atas Nazlan dalam menilai bukti.

“Lagi pun, semua hakim adalah manusia biasa,” kata peguam itu lagi yang menambah, ia mungkin menjejaskan kemampuan saksi untuk memberi keterangan.

Najib yang tiba di mahkamah sejurus selepas jam 9 pagi hari ini mengambil tempat di kandang tertuduh semasa permohonan itu didengar di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Bekas menteri kewangan itu berdepan tujuh pertuduhan berkaitan SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Najib berdepan tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan rasuah dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berhubung penerimaan RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun peribadinya.

Jika didapati bersalah atas semua pertuduhan, Najib mungkin berdepan hukuman penjara 125 tahun jika hukuman itu dijalankan secara berturutan. – 10 Ogos, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen