PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad akan menemui kumpulan aktivis Orang Asli Gua Musang yang mendakwa terancam dengan kegiatan pembalakan dan pertanian di kawasan tanah adat suku kaum tersebut.
Koordinator NGO Center of Orang Asli Concersn, Colin Nicholas berkata ia akan menjadi pertemuan julung kali di antara seorang perdana menteri dengan masyarakat Orang Asli yang tampil membawa memorandum.
“Ini adalah pertama kali dilakukan oleh mana-mana perdana menteri,” kata Nicholas yang menjelaskan, pertemuan sebelum ini hanya berlaku dalam masjlis rasmi.
Setiausaha perdana menteri, Abu Bakar Yahya mengesahkan Dr Mahathir Mohamad sudi bertemu para aktivis daripada suku Temiar itu pada jam 3:30 petang ini.
Abu Bakar turut menemui kira-kira 200 masyarakat Orang Asli yang berhimpun di hadapan pejabatnya di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.
Keputusan itu disambut dengan sorakan para aktivis Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) yang pada awalnya hanya ingin menyampaikan memorandum kepada wakil perdana menteri.
“Kami telah menempuh perjalanan selama enam jam dan peluang ini adalah sesuatu yang telah lama kami nantikan. Oleh itu, kami hanya perlu menunggu disini buat sementara waktu,” kata Pengerusi JKOAK, Mustafa Along kepada ahli NGO yang hadir.
Katanya, lima wakil yang akan menemui perdana menteri termasuknya adalah Pengerusi Belia JKOAK, Nur Mohd Syafiq Dendi Abdullah dan tiga pemimpin Tok Batin.
Memorandum yang disampaikan itu antara lain menuntut kerajaan baharu bertindak mencari penyelesaian terhadap konflik masyarakat Orang Asli dengan syarikat pembalakan dan pertanian yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu.
Perkara itu berlanjutan hingga memaksa suku Temiar itu membina sekatan untuk menghalang pembalak, dan peladang untuk memasuki kawasan hutan di hulu Kelantan itu.
Mereka mendakwa pembalak dan peladang berkenaan memusnahkan kawasan hutan hingga menjejaskan sumber makanan, bekalan air bersih, ubat-ubatan dan merosakkan identiti dan agama mereka.
Pada 4 Ogos lalu, sekatan itu dimusnahkan oleh sekumpulan individu yang dipercayai bekerja dengan syarikat perkebunan.
Perhimpunan hari ini merupakan demonstrasi kedua yang dijalankan kumpulan masyarakat Orang Asli di Putrajaya.
Pada Mac 2010, seramai 2,000 orang berhimpun di hadapan bangunan Pejabat Perdana Menteri untuk menyerahkan memorandum berhubung dasar pemberimilikan tanah.
Sembilan perkara yang digariskan dalam memorandum itu antaranya menyebut, dasar berkenaan diluluskan tanpa melibatkan rundingan dengan masyarakat Orang Asli dan bercanggah dengan peruntukan dalam perlembagaan.
Memorandum tersebut turut menuntut supaya dasar pemberimilikan dimansuhkan dan hak wilayah adat Orang Asli hendalah diwartakan sebagai Rizab Orang Asli.
Turut dikepilkan dalam memorandum berkenaan ialah cadangan pindaan Akta Orang Asli (Akta 134) yang dikemukakan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia. – 10 Ogos, 2018.
Komen